Tag Archives for muzik

The Actors Studio at Rooftop Lot 10, Nadi Baru Kuala Lumpur


Sebuah bandar tidak wajar kehilangan nyawanya. Jati diri budaya merupakan udara untuknya terus bernafas. Dengan terbinanya The Actors Studio at Rooftop Lot 10, segitiga emas Kuala Lumpur akan terus bernyawa. Itulah antara kata-kata yang diluahkan oleh Tan Sri Francis Yeoh, pemilik gergasi korporat YTL Corporations. “Bandaraya akan hilang jatidirinya jika budaya tidak disuburkan. Budayalah yang menjadi nafas untuk sesebuah bandaraya terus bernyawa.”

Selepas penutupan mengejut operasi di Bangsar Shopping Centre, The Actors Studio bernyawa kembali. Pada hari Sabtu lalu berlangsung Malam Gala Pembukaan “The Actors Studio at Rooftop Lot 10”.

Saya boleh meletakkannya sebagai sebuah lokasi yang paling strategik untuk sebuah teater. Memang telah lama saya impikan agar Kuala Lumpur memiliki pentas teaternya bukan di pinggir bandar tetapi sebaliknya di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur.

The Actors Studio diasaskan pada April 1989 oleh pasangan suami isteri, Joe Hafsham dan Datuk Faridah Merican. Lokasi pertama syarikat teater paling berpengerah itu dibuka di Dataran Merdeka pada 1995.

Pasangan itu terus gigih membudayakan masyarakat setempat sehinggalah terbukanya lokasi mereka yang kedua iaitu di Bangsar pada 2001. Tidak henti di situ, mereka melebarkan sayap mereka ke utara dan cawangan The Actors Studio di buka di Pulau Pinang setahun kemudian.
Malangnya pada 10 Jun 2003, banjir besar memusnahkan cawangan Plaza Putra. Namun itu tidak mematahkan semangat Faridah dan Joe walaupun pelbagai dugaan yang mereka terima.

The Actors Studio tidak akan mati. Itulah janji Datuk Faridah Merican demi cintanya pada seni persembahan. Bermula semalam, The Actors Studio at Rooftop Lot 10 membuka pintu menerima pengunjung.


Lokasi asal The Actors Studio di Plaza Putra musnah apabila banjir melanda Dataran Merdeka pada 10 Jun 2003. Sementara cawangannya di Bangsar Shopping Centre pula ditutup pada 28 Februari lalu.

Walaupun diduga pelbagai musibah, namun selaku pengasas, Faridah dan suaminya Joe Hafsham percaya jenama The Actors Studio akan terus memperkasakan budaya kepada rakyat tempatan.

Segitiga emas Kuala Lumpur kini memiliki sebuah panggung teater yang pastinya akan menarik tumpuan pelancong untuk melihat sendiri budaya tempatan di depan mata mereka. Pelbagai hotel yang terdapat di situ pastinya dipenuhi pelancong yang bakal menjadi fokus utama untuk menjadi penonton di pentas itu.

Dicop sebagai “West End of Kuala Lumpur”, The Actors Studio at Rooftop Lot 10 dibuka secara percuma mulai 11 hingga 18 Oktober ini sebelum memulakan operasinya seperti biasa.

Pautan :
The Actors Studio at Rooftop Lot 10
KLPAC
The Actors Studio

Irfan Sangat Hebat

Sangat hebat!

Itulah antara kata-kata yang mampu saya luahkan setelah menyaksikan persembahan piano oleh Tengku Ahmad Irfan Dr Tengku Ahmad Shahrizal.

Pemain piano berusia 11 tahun itu terpilih untuk bermain bersama Orkestra Filharmonik Malaysia di bawah pimpinan Claus Peter Flor.

Baru sahaja berusia 11 tahun tetapi Irfan sudah menerima Kepujian untuk Gred 8 dan Sijil Kecemerlangam Trinity Guildhall untuk Gred 5 Piano Solo.

Kanak-kanak di usia Irfan sepatutnya gemar bermain permainan video tetapi tampil berkeyakinan tinggi membuatkan penonton kagum dengan bakat yang dimilikinya.

Irfan mempersembahkan Piano Concerto in E Flat dan mencipta sendiri tiga kadenza untuk tiga babak dalam persembahannya yang mengambil masa lebih 20 minit.

Konsert Gala Pembukaan Musim 2010 Orkestra Filharmonik Malaysia turut dihadiri Ratu Jazz Negara, Datuk Sheila Majid, Maestro Ramli MS, Awal Ashaari, Lisa Surihani dan ramai lagi.

Saya berpeluang mewawancara Irfan beberapa hari sebelum persembahannya, namun lebih banyak bercakap dengan bapanya.

Melihatkan bakat Irfan saya kagum sekali melihatkan usaha yang telah dia curahkan untuk mempelajari seni permainan piano. Saya pernah belajar organ pada usia 9 hingga 12 tahun. Mungkin atas desakan keluarga minat itu tidak saya teruskan. Saya mungkin sekadar meminati muzik, tetapi untuk mempelajari muzik serta mendalaminya masih belum kena dengan jiwa saya.

Tidak menyesal malah saya bangga dapat melakukannya dalam tempoh 3 tahun tersebut. Saya masih boleh membaca nota muzik (taugeh) sekarang walaupun nota-nota muzik yang mudah-mudah.

Saya petik kenyataan Ramli MS mengenai Irfan yang menyarankannya agar keluar dari sini untuk berguru dengan pemain piano bertaraf antarabangsa untuk menjadi pemain piano terbaik dunia. Bakatnya sangat luar biasa.

Syabas Irfan !

Sent via BlackBerry from Maxis

Istana Budaya 10 Tahun

ANCHOR

Menerajui seni pementasan di Malaysia, hari ini Istana Budaya menyambut ulang tahunnya yang ke sepuluh.

Berkat harapan warga seni Malaysia sejak tahun 1971, maka tersergam indah kompleks Istana Budaya yang mula dibangunkan pada tahun 1995.

VT

Dengan kos pembiayaan sebanyak RM210 juta, Istana Budaya yang mempunyai keluasan 5.44 hektar serta keluasan lantai 21 ribu meter persegi, dibanggakan sebagai panggung pertama di Asia yang memiliki mekanisme pentas tercanggih untuk pementasan teater.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia ke empat, Tun Dr. Mahathir Mohamed pada 15 September 1999 dalam satu majlis penuh gilang gemilang istiadat Kesultanan Melayu.

Selesai majlis perasmian, Perdana Menteri bersama tetamu kehormat turut menyaksikan pementasan teater Keris Sang Puteri.

Teater arahan Datuk Rahim Razali dipilih sebagai teater “Buka Panggung” pentas berprestij itu.

Setakat ini, pelbagai produksi telah dipentaskan seperti Puteri Gunung Ledang The Musical, Konsert Eksklusif Satu Datuk Siti Nurhaliza, Konsert Alam M.Nasir, Teater Ronggeng Rokiah dan banyak lagi.

Ini tidak termasuk produksi antarabbangsa seperti Mamma Mia, Chang & Eng, Fame dan Cats.

Terletak berhampiran Tasik Titiwangsa di Jalan Tun Razak, kini bangunan bercirikan budaya Melayu itu menjadi tarikan utama penggiat seni pentas tempatan dan antarabangsa.

END

Nota : Pelbagai jenis pementasan dan persembahan telah saya saksikan bermula dengan Keris Sang Puteri di hari pertama pembukaannya kepada penonton, beberapa hari sebelum ia dirasmikan.

Antara teater yang paling saya ingati dan telah tonton beberapa kali ialah Ronggeng Rokiah, Siti Zubaidah, Puteri Gunung Ledang The Musical dan P.Ramlee The Musical. Produksi tersebut merupakan antara produksi yang mampu menggerakkan saya untuk bertandang ke Istana Budaya lebih daripada sekali. PGL The Musical dan P.Ramlee The Musical antara yang banyak sekali saya tonton. Selain menjadi penonton, saya terlibat dalam produksi tersebut sebagai Webmaster. Itu cerita dulu.

Banyak juga pementasan yang saya ingati seperti Cats, Fame, Saturday Night Fever dan Mamma Mia yang bersifat antarabangsa produksinya. Selain kagum dengan mutu produksi banyak yang boleh dipelajari daripada cara kerja produksi tersebut selain menggunapakai teknik yang mereka guna.

Saya tidak ketinggalan menyaksikan The Merchant Of Bollywood, Opera Turandot, Siti Di Alam Fantasi, Tun Perak, Cindai, Member Of The Club, Mohram, Gema Zafana, Roshomon, Alang Rentak Seribu, Konsert Geeta Gangsa, Lantai T.Pinkie dan banyak lagi.

Akan menyusul Oktober ini ialah pementasan Teater Gamat dan Cuci The Musical. Syabas Istana Budaya.

Saluran Khas “SITI” di Saluran 188 Astro 30 dan 31 Ogos Ini !












Istimewa sempena Hari Kemerdekaan yang ke 52, Astro dengan bangganya membawakan saluran dedikasi istimewa buat pelanggan-pelanggan Astro serta peminat setia Dato’ Siti Nurhaliza dengan mempersembahkan saluran “SITI” di Saluran 188.

Saluran SITI ini boleh dinikmati oleh semua pelanggan Astro secara percuma dalam satu tempoh yang terhad iaitu selama dua hari tanpa henti iaitu dari 30 Ogos 2009, jam 8.00 malam sehingga 31 Ogos 2009, jam 11.59 malam.

Saluran SITI yang boleh didapati secara percuma ini bakal menyiarkan rakaman Konsert SATU Dato’ Siti Nurhaliza yang telah diadakan di Istana Budaya pada 26 - 28 Jun lalu.

Konsert istimewa yang menyaksikan gabungan visual grafik, pemilihan lagu, koreografi dan alunan muzik telah digunakan sepenuhnya oleh Dato’ Siti dalam menghiburkan para peminatnya dengan membawakan 30 buah lagu tanpa henti dalam masa dua jam.

Konsert yang dikemudikan oleh Pat Ibrahim selaku Pengarah Konsert dan diiringi 20 pemuzik di bawah pimpinan Aubrey Suwito serta 25 penari latar di bawah Pat, Azwa dan Suhaili ternyata memberikan impak yang sangat besar dalam sejarah penting dunia seni hiburan.

Ketika ditemui di sidang media tersebut, Siti terharu apabila diberikan satu saluran khas walaupun dalam tempoh yang singkat. Siti tidak menolak sekiranya diberikan peluang untuk memiliki saluran sendiri.

Katanya lagi dengan memiliki saluran sendiri akan membuatkan dirinya sentiasa berfikir dan merancang untuk menghasilkan produk-produk yang berkualiti selain program-program yang dapat memberi manafaat kepada peminatnya.

Jangan lupa untuk menyaksikan saluran dedikasi khas, SITI di Saluran 188 secara percuma selama dua hari tanpa henti di hujung minggu ini, Eksklusif buat pelanggan Astro.

Jadual Konsert Satu di Astro 188
30 Ogos 2009
8 malam

31 Ogos 2009
2 pagi
8 pagi
2 petang
8 malam
10.30 malam

SATU…Sejarah Lengkap Siti Nurhaliza

Monday, June 29, 2009

Nota : Entri blog ini bukan review. Entri ini merupakan 7 minutes packaged story tentang konsert itu di Gala TV, Astro AWANI. Ulasan peribadi blog akan disiarkan secepat mungkin. InsyaAllah.

(ANCHOR)

Konsert Satu Dato’ Siti Nurhaliza membuka tirainya di Istana Budaya 26 Jun lalu.

Selama tiga malam berturut-turut, penyanyi bersuara emas itu menghiburkan penonton dengan lagu-lagu yang menyusur kerjaya Siti selama lebih sedekad.

(VT)

Bagi peminat Siti Nurhaliza yang hadir menyaksikan konsert sepanjang dua jam itu…pastinya mereka pulang berpuas hati.

Ada beberapa sebab…

Pertama…tentunya kerinduan mereka yang ingin menyaksikan Siti beraksi di sebuah konsert besar di tanah air sendiri akhirnya terubat.

Kedua…menyaksikan sendiri nama penyanyi pujaan ramai itu masih utuh di puncak kejayaan walaupun statusnya kini sudah bergelar isteri.

Ketiga…mereka dapat mendekati kisah hidup penyanyi itu menerusi lagu-lagu nyanyiannya yang jika diteliti bait-bait liriknya…

Pasti membuatkan peminatnya terfikir sejenak isi hati yang mahu diluahkan oleh penyanyi kesayangan Malaysia itu.

Itulah daya tarikan milik Siti yang mampu membuatkan peminatnya termimpi-mimpi.

Berkonsepkan teaterikal, konsert itu menyusur penglibatan Siti di puncak kejayaan dengan bantuan koreografi, muzik, set pentas yang ekstravaganza dan paparan visual grafik.

Siti memulakan persembahannya dengan lagu Hati disusuli Seindah Biasa dan Sutramaya…menuai semangat cinta pada negara.

Tidak lengkap persembahan Siti jika tidak membawakan lagu yang melonjakkan namanya di pesada muzik.

Lagu seperti Jerat Percintaan, Aku Cinta Padamu, Purnama Merindu, Bukan Cinta Biasa dan Cinta Ini merupakan antara lagu pilihan Siti di konsert tersebut.

Walaupun berada di puncak, jati dirinya sebagai anak Melayu tidak pernah pudar pada penyanyi itu dan digambarkan dengan lagu seperti Cindai, Balqis, Nirmala dan lagu asli, Bulan Yang Mesra.

Seperti gadis lain seusianya, Siti juga meluahkan naluri gadisnya menerusi lagu Pendirianku, Pada Cintanya dan Ku Mahu.

Langit tidak selalunya cerah buat penyanyi nombor satu negara itu apabila dia diduga dengan pelbagai tohmahan dan fitnah.

Lagu Tanpa Dendam Di Hati menceritakan segala-galanya.

Namun, insan sekecil Siti hanya mampu berserah kepada Tuhan menerusi lagu Dialah Di Hati.

Paling mengejutkan apabila Siti turut membawakan lagu Kurniaan Dalam Samaran di konsert itu.

Lagu itu tidak pernah dibawakan dalam mana-mana konsertnya di Malaysia sebelum ini…hanya di Singapura.

Dengan melodi lagu itu yang mirip muzik Jepun, di era itulah Siti terus mencipta nama di peringkat antarabangsa.

Siti turut berkongsi perasaan cintanya melalui lagu Mulanya Cinta, Debaran Cinta, Ku Milikmu dan Wanita.

Bila Harus Memilih dan Cuba Untuk Mengerti merungkai gelodak jiwanya yang ketika itu diasak pelbagai persoalan…siapakah jejaka yang bertakhta di hatinya.

Namun, kata Siti…Biarlah Rahsia.

Akhirnya…Cahaya Cinta menjawab segala persoalan jejaka pilihannya.

Namanya terus kekal di puncak.

Siti Situ Sana Sini dibawakan dengan mesej yang jelas, walaupun Siti berada di atas, dia sentiasa menanam sifat rendah diri…

Agar terus diminati peminatnya yang mengangkatnya ke puncak menerusi lagu Destinasi Cinta.

Siti, penyanyi yang tiada dua…menutup persembahannya dengan lagu Di Taman Teman meraikan kejayaannya bersama peminat yang setia bersamanya susah dan senang lebih sedekad.

Persembahan konsert itu dikemudi oleh Pat Ibrahim selaku Pengarah Konsert dan diiringi 20 pemuzik di bawah pimpinan Aubrey Suwito serta 25 penari latar di bawah bimbingan Pat, Azwa dan Suhaili.

Tiket-tiket menyaksikan konsert yang ditaja Maxis itu habis dijual sebelum konsert bermula.//

END