Tag Archives for blog

sultanmuzaffar Berubah Wajah

Setelah lama tidak berubah wajah, saya ambil keputusan untuk mengubah wajah blog saya. Buat masa ini kerja jahat spam dan penggodam masih belum dapat diselesaikan. Google masih mengkategorikan blog ini sebagai “attack blog”. Masih gigih menyelesaikan masalah itu.

Sebagai escapism, saya tukar wajah blog ini dengan template yang lebih segar. Beberapa ciri blog terdahulu, saya kembalikan. Antaranya pautan-pautan ke laman-laman web yang penting yang selalu saya layari.

Antara ciri baru yang ada ialah anda perlu menekan Full Story untuk membaca entri keseluruhan. Ruangan komen pula dikuasakan oleh Disqus yang mana pengguna Facebook dan Twitter boleh menghantar komen anda menggunakan ID laman web sosial tersebut. Lebih mudah memandangkan sekarang lebih ramai pengguna kedua-dua aplikasi itu. Secara tidak langsung pengguna komen anonymous dapat dikurangkan.

Pautan ke Facebook yang saya letakkan di blog ini merupakan fan page sultanmuzaffar, ia adalah untuk pengunjung blog yang tidak saya kenali. Akaun rasmi Facebook saya adalah untuk keluarga, kawan rapat, kawan, kawan sekolah, kawan universiti yang saya kenali.

Saya juga meletakkan pautan Twitter saya yang mana sering saya gunakan untuk mengemaskini pergerakan atau pun pandangan saya. Boleh juga mengikut Twitter saya itu, jika mahu.

Selain itu, menggunakan konsep “sharing is caring”, anda kini boleh berkongsi artikel yang anda suka untuk dikongsi bersama rakan-rakan anda di Facebook, Digg, Del.icio.us, StumbleUpon, Technorati, Twitter atau pun RSS. Semuanya untuk anda.

Oleh kerana telefon bimbit Nokia sudah saya anggap ketinggalan zaman, saya kini sedang berusaha mengubah visual Nokia dengan telefon bijak Blackberry. Visualnya sudah ada, cuma perlu diedit sahaja.

OK. Ada kerja yang perlu dibereskan iaitu berperang dengan spam dan penggodam !

Ulangtahun ke Tujuh Blog sultanmuzaffar

Percaya atau tidak, blog sultanmuzaffar sudah berusia 7 tahun hari ini. Masa berlalu begitu pantas. Akademi Fantasia juga sudah masuk musim yang ketujuh. Anda pastinya teruja untuk melihat transformasi pelajar Akademi Fantasia yang baru atau pun menantikan apakah transformasi yang akan saya lakukan pada blog ini menjelang musim Akademi Fantasia yang bakal menjelma bulan Mac ini. Saya masih kekal sebagai wartawan hiburan Gala TV untuk Astro AWANI yang mana berita terkini mengenai program realiti paling popular itu akan dimuatkan dalam program tersebut. Saya akan cuba untuk mengemaskinikan blog ini sekerap yang mungkin. Selain itu saya akan mengemaskinikan sebuah lagi blog yang masih perlu saya rahsiakan lagi sekarang. Sampai masanya, saya akan umumkan. Oleh itu, kalau ikut prioriti saya perlu berikan kepada Gala TV dan yang selainnya.

Baru-baru ini pada 18 Februari yang lalu saya telah menikmati satu pengalaman luar biasa yang jarang sekali orang biasa dapat rasai. Pengalaman menaiki Boeing 747-400 Flight Simulator Malaysia Airlines. Saya boleh anggap ia satu pengalaman yang tidak akan saya lupakan seumur hidup saya.

Saya bersama beberapa orang blogger diberikan peluang keemasan itu oleh Malaysia Airlines. Saya tiba di Kompleks B, MAS lebih kurang pukul 2 petang dan terus dibawa ke Bilik Operasi Simulasi. Saya tidak mengalami perasaan gerun atau takut kerana saya sememangnya suka naik kapal terbang. Kalau boleh pergi ke pejabat naik kapal terbang pun saya akan usahakan kerana tempoh perjalanan yang singkat.
|
Apabila menaiki sebuah simulasi, tiada apa yang perlu ditakutkan kerana kalau terhempas sekali pun tidak akan cedera melainkan kalau operasi simulasi itu bertindak diluar dugaan, itu lain cerita. Operasi simulasi pada petang itu dikendalikan oleh Kapten Kamarudin Kamilin. Beliau membawa kami ke London Heathrow Airport (LHR). Simulasi penerbangan bermula di landasan LHR dan kemudiannya membuat pusingan dan mendarat di lapangan terbang yang sama.

Kami berlepas dan mendarat di LHR sebanyak empat kali. Saya bertindak selaku juruterbang kedua yang duduk di sebelah kanan simulasi. Apabila kapten suruh tarik saya tarik, apabila kapten suruh tolak, saya tolak. Saya hanya mengikut arahan yang diberikan. Selain meneliti panel kawalan yang ada pelbagai jenis suis memang agak memeningkan dan sebagai juruterbang, mereka perlu bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

Kapten Kamarudin turut mengarahkan pembantunya menukar kepada beberapa situasi seperti gangguan “turbulence” dan sebagainya. Saya juga diberikan peluang untuk merasa bagaimana sekiranya berlaku kesilapan sewaktu pendaratan seperti mana berlakunya pesawat terhempas atau terbabas. Namun semuanya ada butang “restart” kecuali pada situasi sebenar yang mana Allah swt sahaja yang akan menentukan nasib anda. Saya difahamkan anda juga boleh menikmati pengalaman ini sekiranya operasi simulasi tidak penuh dengan latihan juruterbang.

Makan Malam Bersama 25 Blogger Pilihan Malaysia Airlines

Saya mohon maaf kerana gagal untuk mengemaskinikan blog ini sekerap yang mungkin. Sememangnya benar prioriti manusia itu kerap berubah dan ini adalah salah satu contoh. Jika punya masa terluang, saya akan cuba mengubah prioriti tersebut.

Sabtu lepas saya bersama beberapa blogger telah dijemput oleh Malaysia Airlines untuk satu majlis makan malam sempena Tahun Baru Cina. Antara yang saya kenal dan masih ingat blogger-blogger itu seperti RedMummy, KYSpeaks, Suanie, KK, Kenny Sia, SixthSeal, NicoleKiss, YapThomas dan beberapa lagi.

Untuk RedMummy, KYSpeaks, Suanie dan KK tentunya majlis seperti itu menjadi reunion kerana kami sama-sama ke Singapura tahun lepas dan berjaya menggondol tempat kedua….walaupun sebenarnya ada dua pasukan sahaja yang bertanding iaitu Malaysia dan Singapura.

Pertemuan dengan Malaysia Airlines dan blogger itu sebenarnya diaturkan oleh agensi perhubungan awam yang dilantik oleh MAS. Sudah banyak kali pertemuan itu diaturkan oleh agensi dengan saya, tetapi banyak kali juga ia tertangguh kerana kesibukan saya, kesesakan jalanraya dan pelbagai alasan lagi.

Akhirnya hari Sabtu lepas saya dapat bertemu dengan MAS dan agensi bersama-sama blogger lain yang terpilih. Malam itu juga merupakan kali pertama saya merasa loh-sang sejenis makanan tradisi yang selalunya disiapkan sempena Tahun Baru Cina. Boleh tahan sedap rasanya. Lebih kurang macam kerabu mangga. Manis-manis masin.

Bercakap mengenai pertemuan pertama kali, pertemuan malam itu juga merupakan pertama kalinya saya bertemu dengan Kenny Sia, salah seorang blogger yang paling popular di Malaysia. Rajin juga saya membaca blognya tetapi itulah kali pertama saya bertemu dengannya. Begitu juga dengan SitxhSeal yang blognya pernah saya layari sejak tahun 2002-2003. Kandungan dalam blognya dulu agak kontroversi dan saya sempat berbual dengannya mengenai perkara tersebut.

Mereka ini merupakan generasi Petaling Street Project. Sebelum wujudnya teknologi feed, PPS merupakan pusat sehenti untuk mendapatkan kandungan blog yang dikemaskini dengan menggunakan kaedah manual. Saya tidak pasti apa yang telah terjadi kepada PPS sejak teknologi RSS menguasai blog dan berita sekarang. PPS merupakan antara kelompok awal blogger selain GengJurnal.

Berbalik semula kepada pertemuan dengan MAS. Semua orang tahu MAS merupakan syarikat korporat yang mengendalikan perkhidmatan penerbangan. Tentunya kerjasama di antara blogger dan sebuah syarikat korporat dapat dinilai sebagai satu anjakan paradigma yang membuktikan blogger turut memainkan peranan selain memudahkan urusan promosi selain memperkenalkan syarikat korporat kepada pelanggan mereka.

Butir-butir pertemuan masih tidak dapat saya sertakan di sini kecuali saya melihat usaha ini sebagai satu usaha yang patut diteruskan oleh syarikat korporat yang lain. Inilah masanya untuk mempergunakan blogger secara maksima. Astro telah mengorak langkah seawal tahun 2004 dengan mempergunakan blogger secara maksima. :)

Ia merupakan satu permulaan yang cerah untuk tahun 2009. InsyaAllah.

KOSMO : Malaysia lawan Singapura

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

Pertandingan sulung Blogger Challenge anjuran Brands mampu mengeratkan hubungan blogger antara dua negara.

WALAUPUN tewas pada cabaran ini, namun pasukan Malaysia tetap berpuas hati dengan saingan yang diberi.

——————————————————————————–

PERTEMUAN antara blogger dari Malaysia dan Singapura dalam pertandingan julung kali diadakan, Cabaran Blogger Brand’s menyaksikan satu persaingan sengit antara kedua-dua pasukan.

Pertandingan yang dianjurkan buat pertama kalinya oleh Brand’s itu bagaimanapun memperlihatkan kehebatan Singapura selaku tuan rumah apabila pasukan mereka menang dengan catatan mata 54-47.

Setiap negara diwakili oleh lima blogger yang dipilih oleh Brand’s berdasarkan populariti mereka di negara masing-masing. Dalam erti kata lain, mereka merupakan blogger yang mempunyai ramai pembaca, pengikut atau penyokong menerusi blog yang ditulis.

Malaysia diwakili oleh lima blogger iaitu Red Diva, KY, Sultan Muzaffar, Suanie dan KK selaku ketua pasukan manakala Singapura diwakili oleh ECL Tan, Aaron Ng, Sheylara, Mr. Endoh dan Wilfrid Wong (ketua).

Untuk pertandingan tersebut, setiap peserta bersaing menunjukkan kehebatan mereka dalam siri cabaran yang menguji tahap tumpuan atau fokus, memori dan kepantasan berfikir peserta dalam masa yang singkat.

Naib Presiden Regional Marketing Cerebos Pacific Limited, Isabella Tan berkata, pertandingan Cabaran Blogger seumpama ini diilhamkan daripada tinjauan yang dilakukan oleh Brands terhadap fungsi mental penduduk Asia.

“Melalui tinjauan yang kami jalankan, rakyat Singapura dan Malaysia lebih prihatin terhadap pengambilan makanan kesihatan tambahan bagi mengekal dan meningkatkan tahap persembahan mental mereka berbanding negara lain yang terlibat seperti Jepun, Hong Kong, China, Taiwan, India dan Thailand.

“Malah, kami sentiasa terbuka untuk menarik pelanggan kami menerusi cara dan inovatif baru. Selain itu, kami juga mensasarkan pelanggan muda mengenai penggunaan saluran online bagi menjana perbincangan mengenai Brand’s dan produk kami,” jelasnya.

Sementara itu, dua minggu sebelum cabaran itu berlangsung, semua peserta menerima kit pati ayam Brands untuk dihabiskan dalam tempoh 14 hari yang dipercayai mampu meningkatkan tahap kecerdasan otak seseorang individu.

Ketika pertandingan berlangsung, peserta turut dibekalkan dengan minuman pati ayam Brand’s di atas meja masing-masing.

Terdapat tujuh pusingan cabaran yang perlu dihadapi peserta dimulai dengan Buzz Words iaitu cabaran menyusun huruf yang dipamerkan menjadi perkataan. Pusingan ini dimenangi oleh pasukan Singapura dengan catatan 3-2.

Untuk pusingan kedua, cabaran Mental Target menanti peserta yang akan berpasangan dengan pasukan lawan untuk memastikan siapa yang menang. Cabaran ini memerlukan peserta memilih senarai nombor yang dipaparkan bagi menjadikan ia jumlah yang diperlukan oleh juri.

Bagi pusingan ketiga atau Movie Clips, setiap peserta perlu menyaksikan tayangan video pendek dengan penuh perhatian kerana soalan akan diberi berdasarkan apa yang terdapat dalam klip video tersebut.

Dalam pusingan ini, kemenangan berpihak pada pasukan Malaysia yang mencatat lima jawapan betul berbanding tiga daripada Singapura. Ini menjadikan kedudukan ketika itu ialah 7-3.

BARISAN blogger Singapura yang bersaing dalam pertandingan ini.

——————————————————————————–

Sentence Trivia pula mengisi ruang pusingan keempat di mana peserta perlu menyelesaikan ayat yang diberi. Contohnya apakah maksud di sebalik 24 H In A D? Jawapannya ialah 24 Hours In A Day.

Kali ini, Malaysia sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang apabila memenangi cabaran tersebut dan terus mendahului Singapura dengan kedudukan 9-5.

Bagaimanapun, pada pusingan kelima untuk cabaran Boggle Your Mind, pasukan Malaysia terpaksa akur apabila tewas pada Singapura. Dalam cabaran ini, setiap kumpulan perlu menghasilkan perkataan sebanyak mungkin daripada sembilan huruf yang diberi. Singapura berjaya mendapat 39 perkataan manakala Malaysia sekadar 31. Ini menjadikan kedudukan Malaysia 40, Singapura 44.

Pada pusingan keenam pula, cabarannya ialah Spot The Chicken iaitu peserta perlu meneka di mana letaknya anak ayam yang berada di atas pati ayam Brand’s yang telah dipusing-pusingkan untuk mengelirukan mereka. Keputusannya menyaksikan Malaysia menambah tiga mata sementara Singapura mencatat empat mata sekali gus Singapura terus mendahului dengan catatan 45-43.

Pusingan terakhir menjadi penentu untuk kedua-dua pasukan. Dengan cabaran Test Your Memory, kedua-dua pasukan bekerja keras memberi yang terbaik untuk memastikan kemenangan mereka. Namun, pasukan negara gagal mengatasi Singapura yang menang dengan kelebihan 54 mata berbanding 47 untuk Malaysia.

Bagi salah seorang peserta Malaysia, Red Diva, pertandingan Cabaran Blogger amat menyeronokkan dan menjadi satu alternatif baru untuk mengeratkan hubungan antara blogger kedua-dua negara.

“Diharap, untuk tahun-tahun berikutnya jika pihak Brand’s ingin mengadakan pertandingan serupa, mereka perlu meningkatkan tempoh waktu pertandingan dan menjemput penyertaan dari negara-negara Asia yang lain,” kata Red Diva.

Ketua pasukan Singapura, Wilfrid Wong pula berkata, dia dan rakan-rakannya seronok kerana beraksi dalam pertandingan yang sememangnya menguji kepantasan minda untuk berfikir.

“Saya benar-benar teruja dengan Cabaran Blogger ini. Ia memerlukan kerjasama dalam pasukan dan kami gembira apabila kemenangan berpihak kepada kami,” ujar Wilfrid sambil tersenyum.

Dengan kemenangan itu, pasukan Singapura menerima hadiah wang tunai S$1,200 (RM2,852) serta hamper barangan Brand’s manakala pasukan Malaysia menerima S$600 (RM1,426) dan juga hamper dari Brand’s.

BRAND’S Blogger Challenge : Kami Tewas

Seperti yang telah saya umumkan dalam entri sebelum ini saya dan beberapa blogger seperti RedMummy, KYSpeaks, Suanie dan BabeInThe City telah berada di Singapura dalam tempoh yang agak singkat untuk mewakili Malaysia ke satu pertandingan menguji Mental Performance di sana.

Saya akui tatkala mendapat jemputan tersebut saya menerimanya secepat mungkin. Ia merupakan satu pertandingan yang unik untuk menguji minda di antara blogger. Lebih menarik ia melibatkan blogger dari Malaysia dan Singapura.

Minda kami diuji dalam 7 pusingan persaingan yang sengit. Ada Mind Concentration, Sentence Trivia, Word Boggle, Mathematics, Memory dan beberapa lagi. Dalam beberapa pusingan kami sudah mendahului namun nasib tidak menyebelahi kami apabila kami tewas dengan 7 mata di pusingan terakhir.

Pasukan Singapura menang apabila mengumpul 54 mata dan kami hanya mengumpul 47 mata. Kami membawa pulang hadiah wang tunai 600 Dolar Singapura dan barangan BRAND’S yang lebih banyak dari barangan yang saya dapat dua minggu sebelum ke Singapura.

Itu hanya perkara sampingan yang ingin saya sampaikan menerusi entri ini, namun perkara pokoknya ialah pertandingan tersebut mampu untuk mengeratkan lagi hubungan blogger di antara dua negara. Walaupun ia diadakan hanya melibatkan dua negara tetapi setidak-tidaknya kami berpeluang untuk bertemu empat mata dengan mereka yang selama ini tidak kami kenali malah tidak pernah membaca blog mereka.

Pertemuan sebegini wajar dipanjangkan lagi dengan melibatkan banyak negara. Setidak-tidaknya blogger di seluruh ASEAN. Di pertemuan itu nanti tidak hanya pertandingan menguji minda boleh diadakan, malah perbincangan di antara blogger juga boleh diadakan.

Kami blogger di Malaysia mahu juga mengetahui apa masalah yang melanda blogger di Singapura. Masalah yang dihadapi oleh blogger di setiap negara pastinya berbeza. Dalam pertemuan itu kita boleh bertukar-tukar pandangan dan mendapatkan maklumbalas yang pelbagai pastinya.

Pertemuan boleh berlangsung tidak hanya sehari seperti yang berlaku di Singapura tetapi boleh melibatkan banyak hari dengan pengisian yang pelbagai dan memberikan manafaat kepada blogger di rantau ini.

Lebih-lebih lagi kepada blogger yang rata-ratanya terdiri daripada golongan generasi muda yang murah dengan idea. Bukankah lebih seronok jika pertemuan tersebut tidak berlangsung dalam suasana yang tergesa-gesa seperti yang berlaku di Singapura.

Sewaktu saya diwawancara oleh seorang penyampai radio Warna 94.2FM setelah menerima kekalahan saya ada cadangkan perkara yang sama. Sayang pertemuan yang sepatutnya menjadi lebih menarik tetapi hanya diisi dengan pertandingan menguji minda.

Salah satu soalan yang dilontarkan sewaktu pertandingan menguji minda itu ialah 18 H on a G C dan 12 S of t Z. Google lah. Ada banyak di internet !

Blogger Singapura
Eastcoastlife - http://eastcoastlife.blogspot.com/

Blogger Malaysia
KYSpeaks
Red Diva
KK
Suanie
Sultan Muzaffar

Nota : Saya sempat menonton filem Muallaf di The Picturehouse yang dengarnya tidak akan ditayangkan di Malaysia.