
Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Tayangan Unggul Sdn. Bhd. kerana berjaya memenangi anugerah Filem Terbaik Anugerah Skrin 08 menerusi filem Kala Malam Bulan Mengambang. Filem arahan Mamat Khalid itu juga berjaya menggondol anugerah Pengarah Terbaik.

Pertama kali filem itu menang di Festival Filem Malaysia ke 21 ramai yang mempertikaikan kemenangannya. Tidak kurang juga cakap cakap belakang yang memandang sinis kemenangan pengarah filem Man Laksa, Zombie Kampung Pisang dan Rock itu. Pedulikan cakap-cakap belakang itu.
Mamat Khalid menang lagi ! Tidak lama lagi Mamat Khalid menerusi syarikat produksinya akan menayangkan filem Estet. Wow ! Saya tidak sempat lagi menonton filem terbaru Mamat itu. Tetapi saya telah menonton filem Talentime arahan terbaru Yasmin Ahmad yang ceritanya masih berlatarbelakangkan komuniti India.
Yasmin Ahmad pula menang Anugerah Khas Juri kerana memartabatkan filem Malaysia ke pesada antarabangsa. Seperti yang kita tahu filem Yasmin telah mengembara ke seluruh dunia demi mengangkat nama baik perfileman Malaysia.
Bukan satu, malah semua filemnya hebat di luar negara. Walaupun usahanya dipandang sinis oleh sesetengah pihak, baik di kalangan penggiat filem sendiri mahu pun sebilangan wartawan.
Satu lagi yang agak mengecewakan ialah apabila Analisis AWANI kalah kepada Macam-Macam Aznil dalam kategori Rancangan Bual Bicara Terbaik. Walaupun program cetusan Aznil Hj Nawawi itu menang tetapi saya kecewa juga kerana program kendalian Suhaimi Sulaiman tewas.
Anugerah Skrin ini saya sudah boleh cap sebagai Asian Television Awards versi Malaysia. Penganjuran lebih professional dan berkredibiliti berbanding sebuah lagi penganjuran majlis anugerah yang melibatkan penerbitan televisyen di Malaysia. Walaupun ia sepatutnya sebaliknya.
Oleh itu lebih sesuai sekiranya kategori dipelbagaikan. Kalau tidak seperti Emmy Awards pun dapat jadi seperti Asian Television Awards pun sudah cukup baik. Kalau susah sangat jadikan Anugerah Skrin ini setaraf Anugerah Seri Angkasa.
Apabila meletakkan Analisis AWANI dengan Macam-Macam Aznil amat tidak sesuai. Apa tah lagi diletakkan sebaris dengan program seperti Al-Kuliyyah, dan Bersama Dr.Fadilah Kamsah. Program Blog boleh dikatakan sama kategori.
Penambahan kategori memang amat diperlukan untuk merancakkan lagi persaingan antara stesen televisyen. Menang kalah itu lain cerita. Telus atau tidak pun lain cerita. Bak kata Mamat Khalid kita perlu memberikan sokongan kepada industri kita sendiri tanpa mengira peluang untuk menang atau pun kalah.
Ada banyak kategori boleh diperkenalkan seperti Rancangan Berita Terbaik, Rancangan Hiburan Istimewa Terbaik, Rancangan Hiburan Terbaik, Rancangan Infotainmen Terbaik, Penyampai Berita Terbaik, Pengacara Hiburan Terbaik dan banyak lagi. Tapi kasihan pula kat penyampai radio yang tidak berpeluang dan hanya perlu menunggu Anugerah Seri Angkasa. Tapi mana ada yang kekal kan di dunia ni, semuanya boleh diubah.
Bukan saja Anugerah akan lebih gah malah akan lebih diterima baik oleh stesen televisyen di Malaysia dan penggiat-penggiatnya. Kan lebih bagus !

Cukup cerita tentang itu. Saya sebenarnya lebih tertarik untuk bercakap mengenai skrip Anugerah Skrin yang baru saja berlangsung. Lupakan cerita yang buruk, kita bercerita tentang yang baik-baik saja.
Dalam banyak-banyak segmen yang ada, saya tertarik dengan segmen pengacara serba boleh Aznil Hj Nawawi dan pelakon Zul Huzaimy menyampaikan anugerah. Skrip yang mereka lontarkan sesuatu yang segar dan melucukan.
Di situlah miliknya kredibiliti seorang pengacara terbaik dan pelakon terbaik apabila berada di atas pentas. Spontan idea mereka melucukan dan menjadi antara segmen yang diingati penonton.
Sebagai buktinya anda boleh melihat sendiri skrip asal yang sepatutnya dilontarkan oleh mereka berdua.
Aznil bakal muncul dengan sebuah filem baru Cicakman 2 – Planet Hitam dan Zul Huzaimy pula menerusi filem Wayang yang bakal ditayangkan mulai 13 November ini.
Reaksi penulis skrip Anugerah Skrin boleh dibaca di sini.