Saya pernah mencadangkan tema ini sewaktu di peringkat awal sebelum bermulanya Akademi Fantasia musim keenam. Beberapa hari sebelum saya mengambil keputusan untuk beralih arah ke Astro AWANI. Lengkap dengan powerpoint saya siapkan tentang bagaimana Akademi Fantasia harus berubah menjadi sebuah sekolah seni persembahan dan tidak sekolah nyanyian semata-mata.
Siapa Pengetuanya, siapa Pengarah Muziknya, siapa Guru Koreografinya, siapa Guru Dramanya, siapa Guru Vokalnya, semua saya senaraikan. Lengkap dengan tema untuk konsert mingguan. Ada beberapa yang telah pun dilunaskan. Walaupun Akademi Fantasia musim 7 tidak bergerak ke arah itu, namun ciri-cirinya masih ada.
Minggu ini pastinya menjadi kesukaan saya. Walaupun tidak banyak teater muzikal yang popular di Malaysia, namun ia sudah cukup untuk memperkenalkan kepada penonton tentang wujudnya satu lagi cabang seni di Malaysia selain nyanyian dan lakonan di filem dan televisyen. Itu sebenarnya yang lebih penting kepada industri hiburan tempatan yang telah mempergunakan Akademi Fantasia, sebuah program realiti paling popular di Malaysia untuk mempromosikan cabang seni yang kurang popular dan lebih bersifat elitis.
Sebagai sebuah program realiti paling popular sewajarnya tanggungjawab program ini amat besar kepada masyarakat. Pernah beberapa kali program realiti ini digunakan untuk menarik golongan muda menjauhi dadah dan penglibatan dengan program-program anjuran kerajaan. Masih ingat bagaimana Mawi diminta untuk melafazkan “Belia Benci Dadah !” di AF3, penyertaan Aznil Nawawi sebagai Duta untuk sebuah kempen kerajaan dan penyertaan finalis AF5 di kempen Rakan Muda. Semuanya berlaku kerana pengaruh program ini kepada masyarakat.
Ada banyak contoh tentang bagaimana pengaruh program ini dapat mendekatkan golongan penonton kepada satu lagi cabang seni yang lain. Sememangnya nyanyian suatu yang begitu dekat dengan penonton dan sewajarnya penonton diberikan peluang lain bagi mendekati cabang seni yang dianggap asing dengan mereka. Jika dahulu dekoder Astro hanya terpasang di rumah-rumah mewah kini tidak lagi. Kerana program realiti ini jugalah, dekoder Astro telah masuk ke kampung, desa, penempatan peneroka dan sebagainya. Program ini secara tidak langsung telah mendekatkan pelanggan-pelanggan di luar bandar untuk lebih menghargai saluran yang ditawarkan oleh Astro selain daripada Astro RIA. Mereka mula dekat dengan saluran sukan, berita, teknologi dan sebagainya.
Itulah kesan dan pengaruh yang telah dicetuskan oleh Akademi Fantasia. Kesan dan pengaruhnya bukan sedikit, malah amat besar.
