Category Archives for akademi fantasia 7

Bersama Berdoa Menentang Kebatilan

Ya. Sudah masuk ke hari-hari terakhir minggu terakhir. Hari Sabtu ini semuanya akan berakhir. Sama ada pengaruh program realiti Akademi Fantasia masih relevan untuk musim depan masih di luar bayangan.

Hari ini hingga hari Sabtu ini para peminat setia program ini akan bermati-matian untuk menentukan siapa yang akan menjadi juara. Saya sedikit terkilan dengan apa yang berlaku kepada peminat yang gigih mengundi untuk menyelamatkan empat pelajar daripada tersingkir dan seboleh-bolehnya mahu melihat empat pelajar kesayangan mereka terus kekal berada di hadapan.

Segala yang perlu telah saya usahakan, malangnya tidak berjaya. Saya kagum dengan semangat peminat pelajar musim ini, saya kasihan dengan mereka dan seboleh-bolehnya saya mahu mewakili naluri perasaan mereka sekarang.

Itu saja yang boleh saya perkatakan. Tangan saya juga terikat di langit, kaki juga terpasak di bumi. Semoga Allah merahmati mereka dan yang batil akan dibalas olehNya.

Saya tertarik dengan persahabatan Akim dan Hafiz dalam Diari malam ini. Kedua-duanya bersaing dalam pertandingan ala Amazing Race dalam Akademi Fantasia. Hubungan erat itu sesuatu yang sungguh indah untuk ditonton dalam program yang dikatakan bercorak kekeluargaan pada awal kemunculannya. Ya, saya maksudkan hanya AF1, AF2 dan AF3.

Benar, mereka pernah berselisih faham di dalam Akademi. Tunjukkan pada saya adik-beradik mana yang tidak pernah bergaduh dengan adik-beradiknya yang lain ? Fokus saya minggu ini harus ditumpukan pada hanya seorang kerana yang itulah yang telah mengganggu seluruh kemurniaan yang ada sebelum ini.

Melihatkan keakraban Akim dan Hafiz di minggu terakhir ini, saya lebih menyukai salah seorang dari mereka muncul sebagai Juara atau pun Naib Juara. Tidak kisahlah siapa pun. Asalkan mereka berdua. Lebih-lebih lagi dengan kedudukan undian mereka mereka minggu lalu yang berada di tempat pertama dan kedua. Yang mana telah pun dinafikan hak mereka termasuk hak peminat sebagai pengundi.

Semoga Allah membalas segala kebatilan yang berlaku di minggu 9. Amin.

Mahu tahu lebih lanjut klik di sini.

Syabas ! Konsert Terbaik Akademi Fantasia 7

Lima pelajar terpilih ke Konsert Akhir Akademi Fantasia musim ketujuh. Empat pelajar yang masih kekal di minggu kesembilan meneruskan penguasaan mereka setelah tiada penyingkiran dilakukan semalam. Sementara itu, Aril, pelajar yang tersingkir di minggu ketujuh diserap masuk oleh penonton melalui undian AFMASUK.

Konsert minggu kesembilan menyaksikan empat pelajar, Hafiz, Akim, Yazid dan Isma mempersembahkan persembahan cemerlang mereka. Pengumuman tiada penyingkiran nyata cukup menggembirakan. Ini bermakna, kesemua pelajar yang beraksi melangkah ke Konsert Akhir Akademi Fantasia, Sabtu depan.

Semakin hampir ke penghujung. Semakin sukar untuk menulis. Malam itu saya sifatkan konsert terbaik sepanjang Akademi Fantasia musim ketujuh. Pelajar telah menggunakan peluang terakhir mereka sebaik mungkin untuk mengumpan perhatian pengundi.

Paling mengejutkan, apabila minggu ini setiap pelajar lebih menyerlah membawakan lagu tugasan Bahasa Inggeris berbanding lagu Bahasa Melayu. Ya, semua pelajar. Antara lagu Laskar Pelangi dan lagu I Believe I Can Fly, saya lebih menyukai lagu I Believe I Can Fly. Antara lagu I’m Yours dan lagu Larut, saya lebih menyukai lagu I’m Yours. Antara lagu Aku Skandal dan Where The Street Have No Name, saya lebih menggemari lagu Where The Street Have No Name dan antara lagu Hot & Cold dan Aku Pasti Datang, saya lebih menyukai lagu Hot & Cold.

Pelik, tetapi setiap pelajar lebih menyerlah dengan lagu Bahasa Inggeris.

Persembahan Pelajar

LAGU BONUS - Legenda




ISMA - Aku Pasti Datang (Bunga Cinta Lestari)

YAZID - Where The Street Have No Name (U2)

AKIM - I’m Yours (Jason Mraz)



HAFIZ - Laskar Pelangi (Nidji)


ISMA - Hot & Cold (Katy Perry)

YAZID - Aku Skandal (Hujan)


AKIM -Larut (Dewa 19)


HAFIZ - I Believe I Can Fly (R Kelly)

Menuju Puncak

Finalis Akademi Fantasia 7

Saya sudah buat pilihan. Saya mahu kedudukan di bawah untuk Konsert Akhir AF7, Sabtu ini.

Juara : Akim
Naib Juara : Hafiz
Tempat Ketiga : Aril
Tempat Keempat : Yazid
Tempat Kelima : Isma

Pilihan Transformasi sultanmuzaffar

AKIM - I’m Yours (Jason Mraz)
HAFIZ - I Believe I Can Fly (R Kelly)
AKIM -Larut (Dewa 19)
HAFIZ - Laskar Pelangi (Nidji)
YAZID - Where The Street Have No Name (U2)
ISMA - Hot & Cold (Katy Perry)
YAZID - Aku Skandal (Hujan)
ISMA - Aku Pasti Datang (Bunga Cinta Lestari)

Kedudukan pelajar sebelum konsert bermula :

PELAJAR dan PERATUSAN (%)

YAZID – 32
HAFIZ – 28
ISMA - 25
AKIM – 16

Kedudukan pelajar selepas undian ditutup:

PELAJAR dan PERATUSAN (%)

HAFIZ – 34
AKIM - 25
YAZID – 22
ISMA – 18

Kedudukan pelajar undian AFMASUK setelah undian ditutup

PELAJAR dan PERATUSAN (%)

ARIL - 52.45
AISHAH - 26.6
ZIZI - 6.87
SIDI - 5.84
CLAUDIA - 4.59
QHAUD - 1.71
RINI - 0.86
RUBISA - 0.48
OBRI - 0.34
ADILA - 0.26

Ke Mana Arah Dunia Maya Akademi Fantasia ?

Pada mulanya saya menghantar artikel ini untuk disiarkan di Murai, tetapi malangnya Murai nampaknya melengah-lengahkan artikel ini. Oleh itu saya buat keputusan untuk menyiarkannya di blog ini. Artikel ini yang saya hantar dua minggu yang lalu telah pun saya buat penambahan untuk disesuaikan dengan keadaan semasa. Selepas pengumuman AFMASUK dan beberapa isu yang berkaitan dengan perjalanan program realiti tersebut.

Mungkin juga artikel ini dapat mengimbau kembali zaman-zaman sewaktu ianya bermula. Kepada peminat setia program ini sejak AF1 yang sewaktu itu mungkin juga terkejut dengan program sebegini disiarkan di skrin televisyen anda. Namun ada di antaranya sudah seperti keluarga saya sendiri. Hubungan rapat saya dengan beberapa peminat masih berkekalan hingga kini. Jika boleh saya sebutkan beberapa nama seperti bad, dream, chail, ka, leen, iz, waiem dan banyak lagi.

Bagaimana Ia Bermula

Enam tahun lalu, sekitar bulan Jun tahun 2003 saya tertengok sebuah program siaran saluran Astro RIA yang tajuknya Akademi Fantasia. Itulah kali pertama saya didedahkan dengan sebuah program realiti. Itulah program realiti pertama bercorak pertandingan. Saya tidak faham pada mulanya kerana pelajar tinggal bersama di sebuah Akademi. Program Diari yang disiarkan setiap hari itu saya ikuti dengan tekun. Pada waktu itu saya masih tidak tahu yang pada hujung minggu mereka akan mengadakan konsert. Oleh itu saya tidak menonton televisyen dengan tekun pada hari Sabtu, sebaliknya hanya menggunakan komputer dan menonton televisyen secara sambil-sambil.

Bukannya apa kerana lagu yang mereka nyanyikan pada malam tersebut tidak begitu menambat perhatian saya. Yang paling menambat perhatian saya apabila pengumuman dilakukan oleh Aznil. Seorang pelajar iaitu Liza tersingkir di konsert tersebut. Mereka menangis ! Kenapa mereka menangis ? Saya jadi lebih keliru. Antara adegan yang paling saya ingat malam itu hanya pakaian yang dikenakan oleh Sahri persis pegawai bank dan Vince mengenakan bajunya sendiri berjenama Body Glove.

Saya menjadi lebih hairan apabila Liza yang telah pun mengusung begnya ditahan dari keluar. Pengumuman penyerapan semula tidak dibacakan oleh Aznil, sebaliknya dibacakan oleh Rosma. Itulah saat saya mula tertarik dengan program pelik itu. Waktu itu saya masih tidak sedar yang punca penyingkiran Liza adalah SMS. Jangka hayat mereka di dalam Akademi waktu itu ditentukan oleh SMS. Telefon bimbit anda ! Itu yang saya tidak sedar. Waktu itu saya masih tidak sedar yang pelajar boleh diserap kembali. Waktu itu saya masih tidak sedar harga air mata yang dicurahkan melalui program realiti itu.

Bermula minggu kedua, saya jadi peminat setia program realiti itu kerana saya sudah mengetahui yang SMS memainkan peranan yang penting dalam program ini. Apakah faktor yang menyebabkan seseorang pengguna telefon menghantar SMS kepada pelajar kegemaran mereka. Saya mula menulis apa yang berlaku di dalam Diari. Saya sebagai penonton menjadi perintis di ruang blog untuk Akademi Fantasia. Tulisan di blog saya ketika itu menjadi medium kedua buat peminat program tersebut. Waktu itu laman web di platform Astro agak lambat dikemaskinikan. Mungkin juga mereka ketika itu tidak pernah menyangka akan wujud teknologi blog yang boleh mengatasi medium mereka. Saya terus hidup tanpa saingan.

Menulis tentang apa yang berlaku di Diari sememangnya menyeronokkan kerana sebagai penonton saya hanya melihat apa yang ditawarkan kepada saya menerusi skrin televisyen. Itu sahaja. Pada waktu itu kita dihidangkan dengan adegan percintaan Burn dan Nana, pertelingkahan di Meja Makan dan paling diingati sampai sekarang adegan Nana dimarahi Cikgu Siti Hajar. Apa yang saya tuliskan di blog hanyalah pandangan saya sebagai penonton. Saya bukan orang dalam, saya tiada orang dalam untuk menyalurkan maklumat kepada saya dan yang menjadi perantara saya hanyalah skrin televisyen.

Antara tetamu awal yang datang ke Akademi Fantasia seingat saya ialah pelakon Rosyam Nor. Waktu itu kelas Cikgu Fatimah. Bagaimana Atie menjerit gembira masih kekal dalam ingatan. Berlari Atie menjauhi Rosyam Nor yang sedang berlakon dengannya. Di malam konsert, Ruffedge merupakan artis pertama yang tampil mengejutkan Burn dengan lagu Sabar Menanti.

Itulah yang saya rakamkan di dalam blog ini sejak minggu kedua. Amat mengejutkan apabila Adi tersingkir di minggu kedua. Seorang yang takut belon itu tersingkir bila membawakan lagu Biru oleh penyanyi Jai. Penyanyi asal lagu itu pun saya tidak tahu ke mana dia sekarang tetapi Adi kini merupakan penyampai radio ERA. Itulah magik Akademi Fantasia yang sampai sekarang masih saya ingat.

Dunia maya ketika itu tanpa saingan, hanya saya seorang yang menulis di blog. Apa yang disuapkan kepada penonton dan pembaca itulah yang mereka terima. Objektif saya untuk pembaca berkongsi pendapat mereka semakin cerah dengan adanya medium tersebut. Bukannya mahu menunjuk pandai sebalik medium ini saya yakin dapat menyalurkan maklumat berdasarkan pandangan kedua yang sepatutnya diterima dengan baik oleh pembaca. Saya akui, tidak kurang juga yang membenci saya ketika itu.

Peliknya saya hanya mengingati mereka yang kini telah pun menjadi sahabat-sahabat saya dan melupakan kutukan, keji, nesta yang dilemparkan oleh pembenci saya dahulu. Lebih baik mengingati sesuatu yang positif dan membiarkan sesuatu yang negatif terus bersarang di dalam kepala bukan ?

Pengaruh Dunia Maya Ketika AF1 – AF3

Blogger mula diiktiraf apabila tenaga produksi sedar yang maklumat dalam bentuk maya ini lebih pantas tersebar dan dikemaskinikan. Kesan daripada itu mereka mula menjalinkan hubungan rapat dengan blogger dan saya dijemput untuk menonton Konsert Akademi Fantasia 1, minggu keenam.

Sedang waktu itu negara masih samar-samar apakah itu blog, tetapi usaha yang dimulakan oleh Astro untuk menjemput blogger datang menonton suatu yang harus dipuji. Diakui juga blog lebih pantas mengemaskinikan maklumat penting untuk peminat program tersebut. Perkataan blog di tahun 2003 adalah suatu yang sangat asing. Siapa blogger yang menulis tentang dunia hiburan Malaysia boleh dibilang dengan jari, iaitu SATU. Dari situlah bermulanya fenomena blogger hiburan yang cuba untuk menjadi sebahagian daripada program tersebut. Benar kata Ramli MS, oleh kerana program ini terlalu popular, semua orang mahu menjadi sebahagian daripada program ini. Baik penaja, penonton, peminat dan sebagainya.

Ironinya apabila pada konsert minggu keenam, satu Malaysia digemparkan dengan penyingkiran Rosma. Lagu Sinaran yang sepatutnya menjadikan jalan Rosma lebih bersinar menjadi penamat perjalanannya. Sejak itu, lagu Sheila Majid sering dikaitkan dengan badi Akademi Fantasia. Mas juga tersingkir sewaktu mendendangkan lagu Aku Cinta Padamu. Saya mula mengenali tenaga di belakang tabir program realiti ketika itu, Adi Shamsul dan juga Pengetua musim itu.

Hubungan itu tidak terhenti di situ kerana tulisan-tulisan saya mula diberikan perhatian, baik oleh tenaga belakang tabir mahu pun peminat program itu. Waktu itu saya masih berselindung di sebalik nama sultanmuzaffar dan tidak ada yang mengetahui siapakah penulisnya. Berbeza kini. Saya mula memberanikan diri untuk keluar dari skrin komputer ini ke skrin televisyen apabila dijemput sebagai tetamu dalam program Imbasan Akademi Fantasia musim 2 pada minggu keempat.

Ironinya apabila pelajar yang tersingkir pada konsert minggu keempat ialah Fitri, pelajar yang sering menjadi bahan gosip oleh penonton, pembaca dan saya sendiri. Hubungan saya bersama pembaca semakin erat. Program realiti itu selain mengeratkan hubungan kekeluargaan berjaya mewujudkan satu lagi keluarga maya untuk saya. Kami berbincang dan berbual tentang siapa yang kita minat, tanpa perlu menerapkan unsur-unsur negatif yang menghalang daripada kita terus minat siapa yang kita minat.

Ketika itu tiada sebarang agenda malah lebih kepada mewujudkan hubungan kekeluargaan antara satu sama lain. Agenda mengeluarkan pelajar yang tidak menampilkan persembahan terbaik mereka wajar dilakukan agar menjamin mutu program tersebut. Sampai ke Akademi Fantasia musim ketiga, persaingan di dunia maya semakin sengit. Namun elemen persahabatan itu masih utuh di antara blogger.

Di musim ketiga, sewaktu nama Mawi menjadi fenomena sekali lagi saya dijemput untuk program Imbasan Akademi Fantasia 3, minggu ketujuh. Akma tersingkir pada minggu tersebut dan pada konsert itulah pengarah filem, Yasmin Ahmad menjadi pengkritik jemputan. Masih ingat lagi apa komen yang dilontarkan oleh Yasmin kepada Akma selepas persembahannya ? Saya masih ingat lagi.

Impak program realiti itu di dunia maya sangat hebat. Mawi sudah punya portal sendiri sebelum muncul sebagai Juara. Persaingan Semenanjung Malaysia dan Sabah semakin sengit. Pelbagai strategi mula diatur oleh laman-laman web untuk menjadikan pelajar kegemaran mereka sebagai juara.

Kata Cikgu Fatimah kepada saya beberapa hari lalu, beliau agak sedih kerana peminat program realiti itu seakan hilang sifat kekeluargaan sebaliknya lebih memberikan tumpuan untuk menjadikan pelajar kegemaran sebagai juara lalu elemen paling penting dalam program itu seakan hilang.

Itulah yang mula berlaku di musim seterusnya iaitu di AF4, AF5, AF6 dan kini AF7.

Situasi Kini Ketika AF4 – AF7
Di AF4, saya bukan lagi blogger sepenuh masa, sebaliknya ditawarkan untuk menjawat jawatan New Media Planning untuk Akademi Fantasia. Satu pengiktirafan untuk seorang blogger yang menjadi perintis kepada dunia maya Akademi Fantasia. Semua maklumat berada di tangan saya. Tulisan saya sebagai penonton bertukar kepada tulisan sebagai salah seorang yang terlibat dengan program tersebut.

Apabila seorang blogger diberikan keistimewaan itu, tidak hairan lah sekiranya ada hati yang terguris. Persaingan menjadi semakin sengit dan ada yang menjadi mangsa. Saya pernah merasai kehangatan isu tersebut. Mungkin juga ada di antara anda yang masih mengingati cerita itu. Saya mengingatinya sampai sekarang untuk terus menjadi peringatan kepada saya agar jangan tersilap langkah lagi atau pun jangan cepat termakan umpan.

Dunia maya penuh kepura-puraan, penuh dengan strategi, penuh dengan taktik oleh peminat program tersebut. Laman web rasmi menjadi hangat kerana dikatakan pilih kasih walaupun saya cuba untuk menjadi seadil yang mungkin.

Cukuplah dua tahun saya melayani dunia laman web rasmi, saya mahu mencari sesuatu yang lebih mencabar dan hasilnya saya mendaki cabaran baru bersama saluran berita yang baru diwujudkan iaitu Astro AWANI.

Namun program itu terus hangat dengan pelbagai cerita baik dari media arus perdana, mahu pun media baru. Portal Murai diwujudkan menjadi sokongan kepada laman web rasmi. Jika media arus perdana mencari kesalahan program tersebut, media baru perlu memperbetulkan persepsi masyarakat dengan mewujudkan istilah “damage control” sebagai bahan utama portal tersebut.

Sekali lagi pada musim AF7 saya sebagai orang luar. Lebih tenang saya ingatkan. Rupanya tidak kerana saya sering disogok dengan pelbagai cerita belakang tabir di forum dan blog yang cuba merosakkan nama sesetengah pelajar. Saya cuba sedaya upaya untuk meneruskan minat terhadap hanya kepada pelajar yang saya minat dan melupakan cerita-cerita negatif tentang pelajar lain. Kalau pun saya mahu mendengar cerita belakang tabir, saya akan menemui mereka yang boleh saya percayai dan bukannya dari mereka yang memiliki agenda tersendiri.

Terbaru saya tertarik dengan adegan yang berlaku di dalam Diari malam tadi. Bicara Prinsipal Tiara dan Cikgu Fati tentang bagaimana seboleh-bolehnya dia cuba untuk menjarakkan dirinya dengan pelajar. Tetapi sayangnya dia sendiri tidak mampu untuk berbuat demikian kerana sepanjang 10 minggu itulah mereka menjalin ikatan sebagai keluarga. Pelajar membesar di depan mata mereka.

Kesan Pengaruh Dunia Maya Ketika AF4 – AF7

Pelbagai blog, forum dan portal hiburan mula bercambah. Maklumat sudah tidak dapat dikawal lagi dengan bercambahnya blog, forum dan portal hiburan. Maklumat datang dari kiri dan kanan tanpa mengira sensitiviti dan semakin sukar dikawal.

Semua pihak mahu menjadi sebahagian daripada program realiti popular itu. Ia sudah semacam satu lumrah. Semut akan mencari gula. Jangan terkejut jika ada di antara mereka yang cuba untuk mencungkil maklumat daripada saya. Mereka cuba untuk mengumpan saya agar terjerat dalam perangkap mereka. Namun, saya tidak bodoh untuk terumpan dalam jerat yang tidak mendatangkan hasil. Saya lebih berjaga-jaga kini. Saya bukan proxy sesiapa.

Objektif utama saya dahulu agar pembaca dalam berkongsi pandangan mereka untuk kebaikan program itu semakin tersasar walaupun masih wujud lagi elemen sebegitu untuk program ini. Pengaruhnya tidak besar kerana tidak semua penonton setia program ini melayari internet kerana hits untuk pelayar internet tidaklah begitu tinggi berbanding jumlah penonton program realiti itu.

Penutup

Namun pengaruh dunia maya tidak harus diketepikan kerana suara-suara mereka menghangatkan lagi program realiti paling popular itu. Dunia maya boleh dianggap sebagai sokongan kepada meningkatnya populariti program realiti paling popular di Malaysia itu. Itulah Akademi Fantasia, sebuah program realiti yang berjaya menyerap dalam setiap darah peminatnya dan menjadi sebahagian daripada mereka.

Standard Akademi Fantasia Melonjak Lagi

Berjayakah enam pelajar Akademi Fantasia musim 7 merealisasikan impian dalam membawa teater muzikal kepada penontonnya ? Cabang seni yang sebelum ini hanya dinikmati oleh sekelompok masyarakat yang sering dianggap elitis, namun atas usaha produksi Akademi Fantasia, teater muzikal seakan dekat dengan penonton pada minggu ini.
Sesi latihan pelajar yang dibuat dalam tempoh yang agak singkat iaitu selama 5 hari sememangnya suatu yang mustahil untuk sesebuah produksi teater muzikal dipersembahkan. Namun stigma itu dilupakan untuk minggu ini. Berkat latihan intensif yang dilakukan, semuanya tidak mustahil. Itulah semangat enam pelajar yang masih menanam impian untuk terus berjaya di Akademi Fantasia.

Saya tahu latihan untuk produksi seperti Puteri Gunung Ledang The Musical dan P.Ramlee The Musical akan berlaku sepanjang tempoh 3 hingga 6 bulan. Tetapi pelajar Akademi Fantasia hanya melakukannya dalam tempoh 5 hari. Saya sendiri ternanti-nantikan hasilnya kerana usaha membawa kerabat teater PGLtM dan PRtM telah pun dilakukan oleh produksi.

Mari kita sama-sama saksikan dan nikmati satu cabang seni, teater muzikal menguasai Akademi Fantasia pukul 9 malam ini di Astro RIA.

Ulasan Keseluruhan

Saya kagum dengan semangat pelajar yang telah menampilkan persembahan terbaik mereka di Konsert 8 yang bertemakan Teater Muzikal. Bukan sesuatu yang mudah untuk menghasilkan sebuah pementasan muzikal dalam jangkamasa kurang dari satu minggu. Pelajar menerima lagu hari Ahad dan minus one pada hari Isnin. Mula belajar lakonan dan koreografi hari Selasa hingga hari Khamis untuk berhadapan dengan tenaga pengajar. Hari Jumaat sudah berada di Dewan untuk sesi latihan dan sound-check. Menang ia tempoh yang amat pendek. PGLtM dan PRtM berlatih lebih 3-6 bulan. Pelakon seperti Tiara dan Adlin telah pun melakonkan watak yang sama sejak dari versi filem. Watak-watak itu sudah seakan sebati dalam diri mereka berbanding pelajar yang baru mengenali apa itu naskhah. Jadi apa yang telah dipersembahkan oleh setiap pelajar pada minggu ini saya sifatkan amat cemerlang.

Perubahan tema yang mendadak minggu ini mungkin mudah diterima oleh peminat setia Akademi Fantasia. Namun terimalah dengan hati yang terbuka kerana itulah format yang boleh dilakukan oleh Akademi Fantasia untuk menerima sebarang perubahan. Jika ada yang merasakan nyanyian masih elemen penting dalam Akademi Fantasia, terimalah pelbagai cabang seni juga boleh menjadi elemen penting dalam program realiti ini. Jika mahu menonton pertandingan nyanyian sahaja, ada banyak saluran yang menawarkan untuk anda tonton. Drama, kejutan sudah begitu sinonim dengan Akademi Fantasia. Elemen teater muzikal saya terima dengan bangga, elemen AFMASUK ? Saya mengharapkan taktik yang berbeza digunakan.

Persembahan Pelajar

Persembahan Pembukaan : Dewa Perang (Puteri Gunung Ledang The Musical)
Persembahan Penutup : What Time Is It (High School Musical)




Jujurnya saya tidak menyukai persembahan pembukaan ini kerana kehebatan pelajar tidak diberikan limelight sebaliknya AC Mizal yang menyanyi. Pelajar hanya menjadi sebahagian daripada ensemble atau dalam istilah teater muzikal bermakna pelakon tambahan dan penyanyi latar. Pelajar sepatutnya diberikan tumpuan baik dari aspek vokal mahu pun koreografi. AC Mizal sepatutnya duduk di tepi dan bukannya menjadi penyanyi utama.

Sementara itu, lagu persembahan penutup diberikan nyawa oleh setiap pelajar. Koreografi yang ditampilkan juga bersesuaian dan cukup untuk lagu tersebut. Semangat muzikal begitu kental pada persembahan setiap pelajar dan itu yang saya mahukan minggu ini.

Segmen Puteri Gunung Ledang The Musical










Akim - Titah Sultan (Puteri Gunung Ledang The Musical)
Satu persembahan yang baik daripada Akim. Lagu yang asing di telinganya menjadi lebih baik dengan intepretasinya yang tersendiri. Memang sukar membawakan lagu tersebut kerana rentaknya yang bercirikan pop Broadway. Saya akui apa yang diperkatakan oleh Adlin tentang ruang kosong yang tidak diisi dengan koreografi menjadikan persembahan Akim nampak kosong. Saya tidak menyalahkan Akim seratus peratus kerana Akim telah pun diberikan koreografi yang secukupnya berdasarkan tempoh latihan selama seminggu atau pun kurang. Jadi adalah tidak adil untuk membandingkan persembahan Akim yang berlatih dalam jangkamasa 4 hari dengan persembahan Adlin yang telah pun menyerap watak itu ke dalam dirinya selama lebih 4 tahun. Di musim pertama pementasan PGLtM pun Adlin tidak diberikan koreografi yang cukup berbanding musim ketiga. Mutu lakonan Akim juga cukup untuk sebuah persembahan tersebut.

Claudia - Katakan (Puteri Gunung Ledang The Musical)
Saya kagum dengan usaha yang telah dicurahkan oleh Claudia dalam persembahannya. Saya dapat merasakan penghayatannya terhadap watak Gusti Puteri. Sama seperti Akim, adalah tidak adil untuk membandingkan watak Claudia dengan lakonan Tiara Jacquelina. Alasannya sama seperti yang saya senaraikan untuk Akim dan Adlin. Sekurang-kurangnya saya dapat mendengar nyanyian yang diberikan intepretasi berbeza oleh Claudia. Beza antara gandingan Akim dan Claudia dengan gandingan pelajar lain apabila Akim dan Claudia tidak digandingkan dalam adegan yang sama. Oleh itu keserasian antara dua watak dan hubungan antara dua watak itu tidak bertemu titik pertemuan. Itu kekurangan utama pada gandingan ini. Sayang sekali.

Segmen Impak Maksima The Musical






Yazid - Ratu Novella (Impak Maksima The Musical)
Saya boleh katakan segmen Impak Maksima The Musical dipersembahkan dengan baik oleh Yazid dan Aishah. Yazid memberikan satu persembahan yang mantap apabila keluar dari kebiasaannya. Saya percaya kekuatan itu datang dari tenaga Aishah. Nyanyian Yazid baik dan berjaya memberikan warna pada lagu tersebut. Saya tertarik dengan karektor yang ditampilkan oleh Yazid dalam lagu tersebut. Agak mudah membawakan watak-watak dari genre realisme yang sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian dan hasilnya amat membanggakan saya.

Aishah - Slot Akasia (Impak Maksima The Musical)
Saya terkejut apabila Aishah berjaya menampilkan mutu lakonan dan nyanyian yang cemerlang. Jika Aishah tidak tersingkir, dia saya anggap pelajar cemerlang minggu ini. Elemen penting dalam teater muzikal iaitu lakonan berjaya dibawakan oleh Aishah dengan cemerlang. Elemen nyanyiannya juga mantap. Saya percaya gandingan Aishah dan Yazid berjaya meyakinkan saya ada sisi lain pada kedua-duanya yang boleh diteroka lagi. Seboleh-bolehnya saya mahu melihat persembahan beliau lagi di masa akan datang.

Segmen P.Ramlee The Musical





Isma - Mulanya Cinta (P.Ramlee The Musical)
Saya tidak mendengar Siti Nurhaliza di dalam persembahan Isma minggu ini. Ia merupakan elemen paling penting yang selalunya ada pada Isma tetapi berjaya ditinggalkan minggu ini. Nyanyiannya dekat dengan saya dan penghayatannya menjadi. Gandingan Isma dan Hafiz amat kena dan saling lengkap-melengkapi minggu ini.

Hafiz - Di Manakan Ku Cari Ganti (P.Ramlee The Musical)
Lagu Di Manakan Ku Cari Ganti versi Hafiz adalah yang terbaik darinya minggu ini. Saya kagum dengan persembahan yang ditampilkan oleh Hafiz, baik dari elemen lakonannya dan nyanyiannya. Dua elemen itu lengkap menjadikan persembahan Hafiz adalah persembahan paling cemerlang.

Menuju Puncak

Penyingkiran Claudia & Aishah



AFMASUK
Pengumuman AFMASUK tidak begitu mengejutkan kerana isu tersebut digembar-gemburkan minggu ini. Namun saya agak terkilan apabila mekanisme AFMASUK tidak diumumkan dengan teliti sebaliknya menimbulkan keraguan. Saya harus menyokong atas satu sebab tertentu yang tidak perlu saya nyatakan di sini, namun saya juga tidak menyokong pelaksanaannya.

Saya hanya menyokong AFMASUK sekiranya kemasukan semula pelajar yang tersingkir tidak terlibat dalam pertandingan ini lagi. Pelajar AFMASUk hanya dibenarkan membuat persembahan untuk memberikan nilai tambah kepada persembahan pelajar di Konsert Kemuncak. Cukup, itu saja. Pelajar AFMASUK diberikan peluang untuk belajar lagi selama satu minggu, diberikan lagu tugasan, lagu lama dan lagu baru dan mendapat keistimewaan yang sama diterima oleh Finalis sebenar.

Saingan akan wujud di kalangan mereka sekiranya Finalis akan merasa tercabar sekiranya pelajar AFMASUK memberikan persembahan yang lebih baik daripada Finalis sebenar di Konsert Kemuncak kelak. Namun mungkin ada yang melihatnya adalah tidak adil kepada pengundi AFMASUK yang bertungkus-lumus mengundi untuk memasukkan pelajar kesayangan mereka. Undian SMS juga akan kurang untuk satu Finalis yang tidak menerima undian hanya kerana membuat penampilan istimewa dan tidak turut bertanding.

Berbalik kepada mekanisme AFMASUK, bilakah ianya akan bermula. Hari Isnin ? Hingga hari apa ? Hari Sabtu ? Jadi bagaimana dengan persembahan pelajar di Konsert 9 ? Apakah ada penyingkiran Sabtu ini ? Sekiranya ada penyingkiran, bagaimana dengan peluang pelajar tersebut untuk diAFMASUKkan ? Tentu sekali tiada dan ini AMAT TIDAK adil untuk pelajar tersebut kerana tidak berpeluang dimasukkan semula.

Cadangan saya cuma satu. Tiada penyingkiran di Konsert 9 Sabtu ini. Empat pelajar yang tinggal sudah pun menjadi Finalis di Konsert Kemuncak AF7. Undian masih masuk dan tidak ditutup Sabtu ini. Keputusan AFMASUK diumumkan Sabtu ini dan undian untuk Finalis ini baru saja bermula. Jika peminat pelajar AFMASUK mempunyai semangat kental untuk mengejar, silakan.

Ia merupakan gabungan antara idea AFMASUK di AF2 dan AF4. Tetapi kalau mahu lebih ADIL, pelajar AFMASUK hanya muncul buat persembahan dan diberikan keistimewaan yang sama dengan Finalis. Itu ADIL bagi saya.

Jika minggu ini merupakan minggu teater muzikal, maka lakonan juga diberikan tumpuan pada Tenaga Pengajar dan Produksi sendiri. Nampaknya pelajar lebih baik berlakon dari tenaga Produksi.

Sila amati klip video ini :

Pilihan Transformasi sultanmuzaffar

Hafiz - Di Manakan Ku Cari Ganti (P.Ramlee The Musical)
Aishah - Slot Akasia (Impak Maksima The Musical)
Isma - Mulanya Cinta (P.Ramlee The Musical)
Akim - Titah Sultan (Puteri Gunung Ledang The Musical)
Yazid - Ratu Novella (Impak Maksima The Musical)
What Time Is It (High School Musical)
Claudia - Katakan (Puteri Gunung Ledang The Musical)
Dewa Perang (Puteri Gunung Ledang The Musical)

Kedudukan pelajar sebelum undian ditutup:

PELAJAR dan PERATUSAN (%)

YAZID – 29
ISMA - 27
HAFIZ – 15
AKIM – 10
AISHAH – 9
CLAUDIA – 9

Kedudukan pelajar selepas undian ditutup:

PELAJAR dan PERATUSAN (%)

YAZID – 22
HAFIZ – 21
ISMA - 20
AKIM – 14
AISHAH – 13
CLAUDIA – 11

Jom Ke Gala TV



Blog Lain :
BadrulAfterSix

Pengundi Telah Bertitah : Aril Tersingkir

Puas ? Gembira ? Sedih ? Apa yang boleh saya katakan ? Pengundi telah pun bertitah. Jadi saya tiada kuasa untuk berkata apa-apa. Hanya sekadar mampu melihat dan melihat Aril pergi. Tapi bolehkah penyingkiran Aril diganti ? Mustahil ! Satu penyingkiran yang sukar di cari ganti.

Persembahan Pelajar

LAGU BONUS – Fiona (4U2C)


ARIL - Nakal (Gigi)



Persembahan Aril sangat hebat. Aril merupakan contoh pelajar yang menggunakan segala ilmu yang dipelajarinya dan berusaha gigih memastikan persembahannya ada peningkatan pada setiap minggu. Dia turut menampilkan sebuah persembahan pentas penuh berkarektor dengan kombinasi vokal dan koreografi yang tersusun. Persembahan yang baik adalah persembahan yang dirancang dengan teliti dan sedar apa yang perlu dilakukan. Minggu ini Aril meningkatkan keupayaannya di atas pentas dengan memantapkan lagi elemen visual yang ditonton oleh penonton. Setiap pergerakannya bermain dalam melodi lagu.

Apa Yang Perlu Dilakukan Minggu Hadapan : Berada di Astro AWANI, @15, ERA, Trek Selebriti dan lain-lain lagi.

CLAUDIA - When You’re Gone (Avril Lavigne)


Antara tiga orang pelajar perempuan, Claudia merupakan yang terbaik. Claudia cuba menyampaikan emosi dalam nyanyiannya namun adakalanya sampai kepada penonton, selebihnya tidak. Claudia masih mengutamakan persembahan vokal yang seharusnya dipuji. Tumpuan diberikan lebih pada vokal sahaja. Setiap minggu tiada peningkatan ketara dalam persembahannya. Claudia masih belum berani untuk mencuba sesuatu di luar dugaan. Apabila dia sentiasa menggunakan elemen yang sama setiap minggu, persembahannya cepat menimbulkan rasa bosan.
Apa Yang Perlu Dilakukan Minggu Hadapan : Membuka dirinya untuk dieksploitasi dan membenarkan mindanya untuk menjadi lebih kreatif.

AKIM - Situasi (Bunkface)



Akim perlu memberikan fokus yang sebenarnya agar segala usaha yang dicurahkan untuk setiap aspek dalam persembahannya menjadi. Jika dengan lagu Destinasi Cinta, Akim berjaya dari aspek vokal dan persembahan pentas yang biasa. Dalam lagu Situasi, Akim berjaya memberikan sebuah persembahan pentas yang bertenaga tetapi gagal dari aspek vokal. Akim gagal mengawal staminanya. Akim telah pun berusaha memastikan persembahannya minggu ini menampilkan elemen kreatif dan beliau berjaya. Akim nampak semakin berani melakukan suatu di luar dugaan. Untuk minggu akan datang, Akim seharusnya memberikan tumpuan pada elemen-elemen tersebut agar sama rata cemerlangnya.
Apa Yang Perlu Dilakukan Minggu Hadapan : Memperbaiki skil koreografi, mempelajari taktik mengawal diri di atas pentas dan merancang setiap perlakuan dan perlambangan di atas pentas.

AISHAH - Flora Cinta (Min Malik)



Persembahan Aishah terbahagi kepada dua bahagian, melodi perlahan dan rancak. Saya menyukai bahagian perlahan yang mana saya dapat saksikan nyanyian yang penuh penghayatan selain permainan vokal yang bagus daripada Aishah. Penyampaian lagu itu secara tidak langsung berlangsung dengan dinamik yang dikawal dengan baik oleh Aishah. Sayang sekali Aishah seakan-akan terkejar-kejar apabila di bahagian rancak. Namun saya sukakan karektornya sewaktu membawakan lagu tersebut sewaktu rancak yang nampak lebih natural.
Apa Yang Perlu Dilakukan Minggu Hadapan : Bersedia untuk kembali memberikan saingan sengit kepada pelajar lain dengan menunjukkan peningkatan dari sudut persembahan pentas.

YAZID - With Or Without You (U2)




Saya kagum dengan keberanian Yazid untuk keluar dari penjara kedua dirinya dengan menampilkan satu persembahan visual yang menarik untuk ditonton. Gerak dan melodi bersatu untuk menghasilkan sebuah persembahan penuh penghayatan dan sangat dramatik. Dinamik lagu tersebut disampaikan oleh Yazid dengan baik kecuali pada rangkap pertama yang jelas tidak begitu kedengaran sebelum memuncak di bahagian korus. Ceritanya disampaikan dengan gerak tubuh yang penuh dramatik.
Apa Yang Perlu Dilakukan Minggu Hadapan : Meneroka keajaiban diri di penjara kedua agar persembahan pentasnya menjadi lebih dramatik dengan penyatuan gerak tubuh dan melodi lagu.

HAFIZ - Kau Yang Punya (Malique featuring Najwa)


Hanya bersandarkan perlakuan dan perlambangan genre hip-hop, persembahan Hafiz mungkin berjaya dari sudut visual tetapi sayangnya dia tidak menggunakan kelebihan vokal yang ada pada dirinya. Pujian harus saya berikan kerana lagu yang dibawakan oleh Hafiz sememangnya lagu yang sukar untuk disampaikan.
Apa Yang Perlu Dilakukan Minggu Hadapan : Kembali memberikan tumpuan kepada mutu vokal dan berani melakukan sesuatu yang di luar dugaan di atas pentas.

ISMA - Tak Mungkin Kerna Sayang (Alyah)




Bosan. Isma masih gagal untuk meyakinkan saya dengan peningkatan dari minggu ke minggu. Saya masih melilau mencari di mana uniknya persembahan Isma jika mahu dibandingkan dengan minggu terdahulu. Lebih parah bila saya bandingkan keunikannya dengan pelajar lain. Pelajar lain ada yang mula keluar dari zon selesa mereka tetapi tidak bagi Isma.
Apa Yang Perlu Dilakukan Minggu Hadapan : Keluar dari zon selesa sekarang kerana dunia artis yang sebenarnya bukannya terletak di ceruk dapur sebaliknya di pentas glamour yang penuh dengan pancaroba.

LAGU BONUS – Untukmu (Feminin)


Menuju Puncak




Penyingkiran

Penyingkiran Aril menyebabkan saya rasa terkilan. Terkilan kerana tidak lagi berpeluang untuk melihat aksi-aksi di luar dugaannya di atas pentas. Lebih terkilan bila mendapat tahu lagu yang sepatutnya dibawakan oleh Aril untuk minggu depan. Arrggghhhh ! Aril saya kira akan berjaya di luar sana kerana memiliki pakej yang hampir lengkap untuk menjadi seorang penghibur. Saya yakin Aril akan lebih berjaya dipromosikan oleh Akademi Fantasia setelah gagal mendapat peluang keemasan sewaktu bersama program realiti lain.

Pilihan Transformasi sultanmuzaffar

ARIL - Nakal (Gigi)
YAZID - With Or Without You (U2)
AKIM - Situasi (Bunkface)
HAFIZ - Kau Yang Punya (Malique featuring Najwa)
CLAUDIA - When You’re Gone (Avril Lavigne)
AISHAH - Flora Cinta (Min Malik)
LAGU BONUS – Fiona (4U2C)
LAGU BONUS – Untukmu (Feminin)
ISMA - Tak Mungkin Kerna Sayang (Alyah)