Category Archives for akademi fantasia 3

Teman Kerja di Carrefour, Subang Antara Jemputan Yang Hadir ke Majlis Resepsi Mawi & Ekin di Felda Taib Andak, Kulai

Dua majlis perkahwinan Mawi dan Ekin yang melibatkan Johor Bahru dan Kulai telah pun selesai. Kepenatan hasil dari dua majlis tersebut masih belum reda. Sememangnya ia merupakan satu pengalaman yang tidak dapat saya perolehi melainkan berhadapan dengannya sendiri. Banyak cerita manis, tidak kurang juga cerita pahit yang berlaku sepanjang majlis tersebut berlangsung. Banyak pengajaran yang telah saya perolehi dan melaluinya sendiri. Kontroversi yang berlaku membuka pandangan baru saya terhadap banyak isu yang selama ini tidak saya ambil peduli.

Majlis Resepsi di Felda Taib Andak dianggarkan lebih 20,000 jemputan hadir ke majlis tersebut termasuk Konsert Gempak Rewang yang diadakan malam Ahad lalu. Memang penuh dengan ribuan manusia yang saya tidak tahu dari mana. Dalam banyak-banyak tetamu yang saya temui ialah sahabat saya sewaktu bersekolah menengah satu ketika dahulu. Rupanya beliau merupakan teman kerja Mawi sewaktu sama-sama mengharungi zaman sukar di Carrefour, Subang. Walaupun Mawi telah meningkat popularitinya, kawan-kawan lamanya sewaktu zaman susah tidak pernah beliau lupakan. Itulah sisi lain yang baru saya temui.

Jika diberikan pilihan saya seboleh-bolehnya tidak mahu ke Majlis Resepsi 1001 Malam di Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan. Jika diberikan pilihan saya seboleh-bolehnya hanya mahu menonton dari rumah. Pastinya tanggal 11 Januari itu menjadi satu hari paling panjang dan memenatkan. Pelbagai gimik telah pun dirancang dan majlis tersebut akan menjadi sebuah program televisyen yang terancang. Oleh itu, lebih sesuai sekiranya saya tonton hanya di televisyen.

Saya tertarik dengan tulisan Adam Saleh seperti yang tersiar dalam ruangan Jarum Emas di akhbar Metro Ahad yang menyebut “Natijahnya, menjadi pengamal media, ada kala kita mendapat layanan Kelas A, ada ketika tiada kelas langsung, namun kerana kelicikan kita, tanpa kelas pun kita boleh menjadi yang terbaik.“. Saya pegang kata-kata itu kerana hari ini mungkin hari saya, esok belum tentu hari saya.

Gala TV : Istimewa Mawi…Ekin

Mawi dan Ekin hari ini mengumumkan rancangan perkahwinan mereka yang bakal berlangsung pada 20 Disember 2008. Majlis Akad Nikah akan berlangsung di sebuah masjid di Johor Bahru, manakala pada sebelah malam majlis resepsi sebelah perempuan akan berlangsung di Stadium Tertutup Johor Bahru dengan tema moden kontemporari.

Seminggu selepas itu pula bakal berlangsung majlis resepsi sebelah lelaki yang akan berlangsung di Dewan Felda Taib Andak, Kulai. Untuk majlis tersebut, Mawi akan menonjolkan konsep Jawa. Turut menarik perhatian saya apabila pasangan pengantin akan diterbangkan dengan helikopter dari Dataran Bandaraya JB ke sebuah padang sekolah di daerah Felda tersebut.

Paling ditunggu-tunggu peminat pastinya majlis istimewa yang bakal berlangsung di Hotel Palace of Golden Horses di Seri Kembangan. Tema pada malam tersebut yang akan disiarkan secara langsung oleh Astro RIA ialah “Arabian Night”. Melihatkan perancangan dan lakaran yang telah disiapkan, saya boleh andaikan ianya bakal menjadi sebuah malam paling bersejarah buat Mawi dan peminatnya. Memang ia sebuah majlis yang hebat. Ada unta, kuda, padang pasir, khemah Badwi, sisha, tarian gelek dan macam-macam lagi elemen Arab. Majlis Istimewa itu bakal berlangsung pada 11 Januari 2008, tarikh sama dengan hari lahir Datuk Siti Nurhaliza.

Hampir seminggu kami di Gala TV, Astro AWANI menyimpul mulut menyimpan segala rahsia terperinci berkenaan majlis tersebut. Kami juga mengambil masa yang sama untuk menyiapkan pakej visual untuk Sidang Akhbar yang turut disiarkan secara langsung oleh Astro AWANI.

Memang memenatkan. Mujur, majlis-majlis resepsi berlangsung dua bulan lagi, maka segala pita di Media Library berkenaan Mawi masih belum dipinjam oleh sesiapa. Saya ditugaskan untuk mengumpul bahan berkenaan jalur karier seni Mawi. Apa yang berlaku sepanjang tiga tahun yang lalu perlu didokumentasikan. Memang memeningkan.

Beberapa arahan dikeluarkan sepanjang proses menyiapkan pakej visual tersebut. Arahan mengurangkan penayangan visual berkenaan Ina harus saya patuhi. Walaupun ianya merupakan salah satu momen penting dalam kehidupan Mawi.

Di majlis Sidang Akhbar, saya ditugaskan untuk menjadi pembawa soalan pertama kepada Mawi. Berdebar juga. Itulah kali pertama muncul secara langsung di Astro AWANI. Walaupun jika ikut perancangan awal memang perlu melakukan banyak segmen, tetapi saya lebih selesa untuk hanya muncul menanyakan soalan.

Saya lebih senang untuk bertemu rakan-rakan media di majlis tersebut. Puas berbual dengan rakan-rakan yang hadir seperti Fida, Dean, Farihad, Joe Lee, Maliah, Niezam, Juan dan ramai lagi.

Gala TV Istimewa Mawi…Ekin akan diulang kembali pada pukul 10 malam ini, 1 pagi, 3 pagi dan 3 petang esok. Jika yang terlepas menonton, boleh menonton.

Terima kasih kepada yang sudi menjadi telinga, mata, hidung dan hati saya sepanjang menyiapkan kerja-kerja untuk Sidang Media Mawi & Ekin. Terima kasih.

Esok, masa untuk spa !

Marsha Birthday Bash

Marsha Birthday Bash

Untitled

Berkali-kali saya diingatkan oleh Badrul dan Klubbkidd tentang majlis tersebut. Jawapan saya mudah sahaja. Saya tidak akan pergi tanpa sebarang jemputan. Berkali-kali juga mereka cuba mendapatkan jemputan untuk saya tetapi tidak berhasil. Terima kasih kerana mempunyai sahabat-sahabat yang sanggup bersusah-payah untuk tujuan “murni” tersebut. Saya terharu.

Akhirnya saya ke sana dengan kad jemputan kepada salah seorang Editor Hiburan yang tidak dapat hadir. Raut wajah penyambut tetamu sedikit berubah. Saya pula menjadi sedikit malu. Maka saya perlu betul-betul membawa diri dengan sebaik mungkin di majlis tersebut. Tidak mahu nanti dikatakan lebih sudu dari kuah. Lebih-lebih lagi saya menggunakan jemputan orang yang tentunya pihak penganjur merasa sedikit pelik kerana kelibat saya masih kelihatan di majlis tersebut. Hendak booking tempat untuk Klubbkidd dan Ted pun saya tidak berani.

Majlis tersebut telah diadakan di Restaurant 39, PNB Darby Park. Sebuah restoran yang agak eksklusif di aras paling tinggi bangunan tersebut. Pemandangan yang menarik terutama di waktu malam. Malam itu, saya lebih selesa duduk bersama Izreen, Meesua, suami dan sepupunya, Waiem dan Najmie dari duduk di ruang hadapan. Berbual tentang hal ehwal semasa serta isu terkini yang sedang hangat diperkatakan masa kini. Sesekali membuat lawak jenaka “press conference” atau jenaka “bangkai”, walaupun isu tersebut isu lapuk. Walaupun kebanyakan dari kami yang agak samar-samar tentang isu paling terkini iaitu “tikam belakang” atau isu “talam”. Pada mulanya kami sudah menempah tempat paling privasi di tempat majlis tersebut diadakan iaitu di dalam sebuah bilik yang tidak ramai orang. Lagipun peminat yang hadir pada malam itu hanya diletakkan di tempat yang berasingan dari para VIP.

Persembahan dari Marsha

Bilik tersebut dibekalkan dengan skrin tv plasma untuk melihat perjalanan majlis yang berlangsung di bilik yang satu lagi. Di dalam Akademi Fantasia juga sudah ada kasta nampaknya. Mujur tidak ramai yang hadir maka kebanyakan para peminat yang hadir pada malam tersebut berpindah ke ruang VIP di pertengahan majlis.

Seketika saya menghadapi makanan di ruang utama tetapi merasakan sedikit tidak selesa, saya kembali bersama teman-teman yang lain di ruang belakang. Tanpa lampu spot yang menyinari terang, udara di ruang belakang lebih dingin. Kebanyakan dari kami lebih sukakan ruang belakang kerana udaranya bukan seperti seseorang itu yang takutkan Kefli di ruang hadapan.

Bintang Akademi Fantasia

Majlis agak hambar mungkin kerana tidak ramai yang hadir kerana kesesakan lalulintas angkara raptai untuk salah satu majlis rasmi negara di sekitar KLCC. Ramai juga bintang Akademi Fantasia yang hadir pada malam tersebut antaranya Amylea, Akma, Felix, Ekin, Yazer, Elliza, Reza dan Kefli. Satu kelebihan untuk para peminat yang berbelanja besar untuk hadir bertemu bukan sahaja Marsha tetapi juga bintang-bintang yang lain. Antara tetamu lain yang hadir ialah M.Nasir dan Marlia Musa. Turut hadir ialah Kelvin (kenalan saya), pereka gaun Marsha pada malam tersebut dan kawannya Yus (Yus lah konon)

Pelancaran Laman Web Rasmi Marsha oleh M.Nasir

Turut dilancarkan pada malam itu ialah Laman Web Rasmi Marsha di alamat www.marshalondoh.com. Saya suka dengan rekabentuk laman web tersebut cuma stereotype yang masih tebal dalam minda masyarakat ialah penggunaan warna merah jambu untuk disesuaikan dengan Marsha. Pada saya ia terlalu klise. Penyanyi wanita harus berani lari dari warna merah jambu. Sama juga dengan apa yang saya lihat pada Laman Web Rasmi Nikki. Sekali lagi warna merah jambu menguasai keseluruhan ruang pada laman web tersebut.

Lama juga perlu menunggu untuk majlis countdown tepat jam 12 tengah malam. Majlis nyanyi-nyanyi hanya sebuah persembahan biasa dari Marsha. Mengulang lagu Untuk Terakhir Kali, Destiny dan Pilihlah Aku untuk para peminatnya. Sesekali diselitkan acara untuk para peminatnya. Seperti satu rutin, pertandingan menyanyi lagu “Pokok Kelapa” harus tidak ketinggalan. Meesua menjadi pemenangnya itu pun setelah peserta lelaki utama yang kononnya peminat fanatik tersohor Marsha sengaja membuat kesilapan. Perlu juga menunggu lagi untuk pertandingan trivia diselesaikan dalam keadaan soalan trivia tidak disediakan terlebih awal. Aduh !

Marsha dan Kelvin (Pereka Gaun Marsha)

Baru-baru ini saya menonton filem bertajuk Philadelphia yang ditayangkan di Astro. Mendengar petikan piano oleh pemain piano pada malam itu mengingatkan saya adegan sewaktu kematian Andrew Beckett. Tidak ubah seperti sebuah majlis pengebumian.

Sementara menantikan majlis memotong kek dijalankan, beberapa orang-orang penting diminta untuk memberikan ucapan selamat hari lahir kepada Marsha. Penasihat MarshaFC, wakil MarshaFC dari Sabah, kakak Marsha, wakil Maestro dan beberapa orang lagi. Setelah beberapa orang selesai membuat ucapan, Badrul memanggil nama saya untuk berucap. Wah ! Orang yang tidak dijemput ke majlis, mana boleh masuk dalam list orang penting untuk berucap ? Penting sangat ke ucapan saya untuk Marsha ? Lawak-Lawak ! Saya ke depan dengan hati yang berat.

MC Hammer Bidan Terjun

Selesai majlis memotong kek dan bergambar sana sini, kami pun pulang itu pun perlu menunggu sehingga Badrul selesai menjalankan tugasnya sebagai pengacara majlis pada malam tersebut.

Sekalung penghargaan buat penganjur majlis yang telah berusaha sebaik mungkin untuk melancarkan perjalanan majlis. Kemeriahan sekejap-sekejap yang dirasai terutamanya kepada para peminat Marsha tentulah merupakan kenangan paling manis buat mereka.

Potensi Masa Depan Marsha
(Kalau tidak nervous, inilah yang akan saya ucapkan semalam. Tetapi oleh kerana nervous dapat lah ucap sepatah dua sahaja.)

Semoga tahun depan aku layak ke AIM, boleh pinjam baju Datin belakang ni…

Marsha mempunyai potensi yang besar menjadi seorang yang lebih dikenali di masa akan datang. Personaliti beliau yang menarik merupakan asset paling berharga yang ada pada beliau untuk dipergunakan.

Beliau agak mudah untuk didekati. Beliau juga merupakan pemain paling utama dalam setiap tindakan yang dibuat olehnya dan juga dalam usia yang muda beliau masih memerlukan kakaknya untuk banyak membuatkan keputusan untuknya.

Kekalkan hubungan yang positif bersama pihak media kerana mereka inilah yang akan memberikan ulasan-ulasan positif tentang anda. Kemesraan yang ditunjukkan sewajarnya dikekalkan.

Dalam usia yang muda, beliau memerlukan seorang yang matang untuk membantu beliau dalam membuatkan keputusan. Lebih-lebih lagi apabila dikelilingi para oportunis yang sentiasa menantikan peluang untuk mendekatinya.

Beliau perlu bijak mengambil segala peluang yang datang sementara masih dikenali, paling tidak sebelum ketibaan musim baru Akademi Fantasia. Peluang-peluang yang datang sekali seumur hidup itu bukan sekadar terhenti setakat itu sahaja, tetapi perlu dilakukan tidakan susulan agar hubungan tersebut berkekalan. Ini secara tidak langsung akan lebih memanjangkan hayat Marsha dalam dunia hiburan tempatan.

Inilah masanya untuk mengumpul harta. Ikut seperti Bob yang gigih mengumpul harta sewaktu popularitinya sedang memuncak. Bila sudah tenggelam nanti, satu sen pun tiada gunanya.

Marsha, Happy Birthday To You !

Pujian Lain :
Badrul
Sekadar Media Picisan
Waiem

Apa Yang Best Tentang Jiwang United

Apa Yang Best Tentang Jiwang United

Rumah Terbuka Akma di kediamannya

Pagi tersebut saya sempat menyelak akhbar Mingguan Malaysia, ruangan Cubit Manja oleh Siti Jarum. Terperanjat besar saya dibuatnya. Tiada kata yang mampu saya luahkan kesan dari isu tersebut. Benar, isu tersebut telah menjadi semakin besar dan sedikit sebanyak ada pihak lain yang terkena tempiasnya. Sebagai seorang blogger sepenuh masa (ya, sepenuh masa) saya merasa agak tertekan membacanya. Saya sebolehnya tidak mahu masyarakat memandang serong tentang tugas dan fungsi seorang blogger.

Saya tertarik dengan satu kenyataan dari Siti Jarum yang berbunyi, “Bukan semua yang boleh menulis dan ada byline tu wartawan. Dan bukan orang yang tak ada byline itu pula bukan wartawan.” Renungkan dalam-dalam dua baris ayat tersebut dan tanamkan dalam-dalam ke dalam minda masing-masing.

Tengahari itu, saya tidak melepaskan peluang untuk menghadiri majlis rumah terbuka Jiwang United di Kenari Townhouse, Templer Park. Memandangkan ada yang sanggup terbang dari Brunei untuk ke majlis tersebut, amatlah tidak wajar sekiranya saya tidak mampu untuk menghadirinya. Kebanyakan para tetamu adalah mereka yang telah saya temui sewaktu Rumah Terbuka Akma di kediamannya di Jalan Klang Lama pada hari Sabtu. Tidak jemu-jemu kita bertemu. Ada juga kenalan baru yang saya kenal di majlis tersebut. Makin bertambah kenalan saya di sebalik kemelut kawan yang pergi. Boleh baca blog Houdini untuk ulasan lanjut.

Saya datang untuk makan dan berseronok-seronok. Tidaklah seronok sangat tapi cukup sekadar menyeronokkan hati insan lain. Dalam sibuk-sibuk ramai yang bertanyakan sama ada Badrul datang atau tidak. Saya jawab tidak sahaja. Ada hal mungkin. Walaupun saya sebenarnya menyimpan rahsia kehadirannya.

Banyak betul makanan yang terhidang di atas meja. Juga kerusi sehinggalah ke belakang dapur. Penuh dengan makanan. Di dinding tertampal menu-menu untuk tengahari itu. Ada macam-macam nama yang terpampang.

Menu Rumah Terbuka Jiwang United

Kuih Benderam Berjuta Batu, Sambal Bilis Cinta Seorang Teman, Rendang Camar Yang Pulang, Meehoon Goreng Nazam Berkasih, Keropok Lekor LOVE, Satay Susah Susah Aje, Laici Jelly Raikan Cinta, Mint Chocolate I Will Always Love You, Kuah Satay Hukum Karma, Sandwich Teratai, Nasi Himpit Adik Panjang, Mihun Goreng Memori Bahagia, Kek Coklat Konnichiwa, Nasi Dagang Whatever, Kuah Kacang Abang Panjang, Buah-Buahan Dusun, Kek Benjis Fantasia Bulan Madu, Spaghetti Semut Merah, Air berperisa Muhibbah dan macam-macam jenis lagi. Saya hanya bawa perut.

Bila tengok senarai menu dengan pelbagai nama teringat pula sewaktu nostalgia Akademi Fantasia 1 bila mana saya dan PFS menganjurkan Rumah Terbuka sultanmuzaffar. Kenangan-kenangan tersebut datang kembali ke dalam memori. Semua orang gembira melaksanakan satu majlis yang tidak begitu besar tetapi berlangsung dalam suasana yang meriah. Ia tetap sebuah majlis gathering, bezanya semua orang gembira dan tidak ada sidang media di pertengahan atau di penghujung majlis. Ia berlangsung dalam suasana yang amat meriah.

Felix dan Akma menonton video klip Jiwangs hasil ahli JU

Kemeriahan yang dirasai tidak terhenti setakat itu sahaja. Ketibaan Badrul yang telah saya ketahui sejak awal saya sambut di bawah tempat berlangsungnya majlis tersebut. Saya tergamam ! Baru sebentar tadi Lina menelefon Felix untuk memberi peluang kepada para tetamu mengucapkan sesuatu kepada Felix. Tapi kini Felix berada di depan mata mengekori Badrul. Bukan sahaja Felix, Akma juga turut serta. Tertipu rupanya saya dengan panggilan telefon sebentar tadi.

Kecoh satu rumah apabila melihat Felix dan Akma turut serta dalam majlis tersebut. Walaupun masa mereka tidak lama hanya dalam sejam sahaja tetapi ia merupakan satu kenangan paling bermakna bagi semua tetamu yang hadir.

Tetamu yang hadir tidak tahu menahu tentang kehadiran Felix dan Akma, tetapi masih sanggup melaksanakan majlis tersebut dengan gigih. Yang terbang dari Brunei tidak pernah mengharap yang Felix dan Akma akan hadir, cukuplah sekadar dapat bertemu dengan kawan-kawan Jiwang United. Melihatkan kehadiran Felix dan Akma, ia merupakan satu bonus buat mereka.

Upacara Membodek Jejaka Terhangat Di Pasaran oleh JU

Itu yang saya lihat ada dalam Jiwang United. Mereka tidak terlalu memberikan harapan yang tinggi tetapi sekdar melakukan apa yang mereka termampu. Sokongan yang diberikan kepada Felix dan Akma tidak pernah dibatasi dengan habuan-habuan yang tidak masuk akal. Apa yang mereka lakukan adalah untuk meraikan cinta sesama Jiwang United. Mereka tidak pernah meletakkan syarat kepada Felix agar jangan bergambar dengan artis wanita, begitu juga sebaliknya kepada Akma. Mereka sekadar memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada mereka berdua.

Foto Kenangan Jiwang United

Memandangkan kebesaran kuasa yang ditunjukkan oleh Badrul dengan membawa Felix dan Akma ke majlis tersebut, maka sahamnya naik melonjak sehingga tidak dapat ditahan-tahan lagi. Saham wink sebagai Jejaka Terhangat di Pasaran juga nampaknya semakin merudum menghadapi zaman kemelesetan. Saham saya ? Tidak perlu risau. Masih kukuh di pasaran. Setakat hari ini, baru dua orang yang mengaku. Ada lagi yang masih belum tampil untuk membuat pengakuan mereka. Mereka disarankan agar membuat pengakuan dengan kadar yang segera sebelum terlambat. Sila buat sidang media secepat yang mungkin. Tetapi ingat, tunggu sehingga majlis selesai.

Felix juga mewar-warkan agar jangan lupa dengan gatheringnya yang akan diadakan hujung minggu ini. Maklumat lanjut adalah seperti di bawah :

Gathering Bersama Felix Agus

Tarikh : 26 November 2005 (Sabtu)
Masa : 8.00 malam
Tempat : The Pool Side Suitestay Executive Residence, 161-D Jalan Ampang, Kuala Lumpur(dekat stesen LRT Ampang Park atau belakang Wisma MCA & Menara TR)
Harga tiket adalah : Dewasa - RM50, Kanak-kanak bawah 12 tahun - RM35(terhad kepada 15 orang kanak-kanak sahaja)

Saya menerima SMS ini dari seorang sahabat yang menonton wawancara bersama Bon Jovi di Oprah Winfrey Show;

“I never make any decision based on my fan base. If I were 2 do that, I wud be living a lie n not be true 2 myself. Music is what I do, not who I am; who I am is much more, not just what u c on stage.” ni penyanyi yg dah berjaya selama 20 tahun n jual 100 juta album. Hehehe.”

Fikir-fikirkanlah…

Kiriman Lukisan Tangan

Kiriman Lukisan Tangan
Saya menerima kiriman ini yang telah dihantar oleh Maslina Sumairi kepada saya melalui pos. Saya sepatutnya menerima kiriman ini melalui tangan pada satu hari di Shah Alam tetapi kerana kesuntukan masa saya tidak dapat menunggu sehingga beliau tiba. Saya hanya terima kiriman ini yang tiba pada hari Sabtu di hadapan muka pintu rumah saya tetapi memandangkan saya tiada di rumah untuk menerima kiriman melalui pos ini maka kiriman tersebut telah dihantar kembali ke Pejabat Pos Brickfields.

Pagi tadi saya ke Pejabat Pos Brickfields untuk mengambil kiriman tersebut. Saya buka kiriman tersebut di dalam kereta. Terperanjat benar saya melihat potret tersebut. Ada potret Mawi, Felix dan saya sendiri pada kertas lukisan tersebut. Ini kali ketiga saya menerima lukisan potret saya sendiri yang dihadiahkan kepada saya. Kali ini agak berbeza kerana ada juga Mawi dan Felix.
Juga dikepilkan beberapa helaian surat bertaip komputer yang agak panjang lebar bercerita tentang gaya penulisan saya yang tidak begitu memihak kepada Mawi. Pengirimnya seorang fanatik Mawi dan tentunya isi suratnya berkaitan dengan Mawi sahaja. Sebenarnya saya berbangga mempunyai pembaca yang bersifat begitu terbuka untuk menerima dan berfikir tentang apa yang saya tulis berkenaan Mawi, baik tulisan berunsurkan negatif mahu pun positif.
Saya hanya mengenali Maslina melalui SMS yang dikirimkan melalui nombor yang tertera di blog ini. Saya juga mengenali beliau berdasarkan komen-komen yang beliau tulis di ruangan Pendapat blog ini. Katanya, walaupun kita berbeza parti, kita tetap boleh berkawan. Parti ? Peminat Mawi parti apa ? Peminat Felix parti apa ? Memang tidak ada salahnya untuk berkawan, cuma saya agak skeptikal terhadap sesetengah jenis peminat Akademi Fantasia dan ia seakan semakin menjarakkan saya dengan mereka.
Kata pengirimnya lagi, blog saya selalu membuatnya merajuk dan terpujuk. Boleh buat tajuk lagu ni ! Katanya lagi, tulisan picisan saya ini berjaya mengumbang-ambingkan emosi beliau. Saya mengharapkan pembaca yang berfikiran terbuka sebegini akan untuk terus membaca dan memberikan maklumbalas berdasarkan fakta dan bukan berdasarkan emosi.

Ia benar-benar membuatkan saya terharu. Sifat yang dimiliki oleh pengirim ini sebenarnya dimiliki oleh beberapa teman rapat saya seperti yang saya ceritakan dalam utusan yang terdahulu. Saya sebenarnya tidak pernah menyangka wujudnya lagi kalangan pembaca yang sebegini dalam blog saya ini. Iaitu mereka yang tidak terlalu dibuai emosi kesan dari manipulasi emosi yang telah dijana oleh rancangan Akademi Fantasia. Setiap tahun Akademi Fantasia menghasilkan kelompok peminat yang pelbagai yang rata-rata saya temui kepelbagaian dalam sifat mereka. Setiap tahun ada keunikan masing-masing.

Dalam PFS atau Kebun rata-rata meminati rancangan Akademi Fantasia secara keseluruhannya. Tanpa perlu emosi terhadap pilihan masing-masing, kami dapat duduk semeja, makan sepinggan, tinggal serumah, tidur sekatil dan berkongsi masalah tanpa ada perasaan prejudis terhadap pilihan masing-masing. Kami semacam sebuah famili. Itu sebabnya sekiranya ada undangan dari mereka, akan saya lupakan jemputan dari mana-mana bintang Akademi Fantasia kecuali Adam lah. Hahaha

Saya cuma berharap segala urusan peribadi berkenaan karier akan selesai secepat mungkin dan mana tahu sambutan raya saya tahun ini akan lebih bermakna dengan PFS dan Kebun. Sempena menyambut ulangtahun saya keluar dari belakang blog untuk bertemu dengan pembaca-pembaca saya, saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana memberikan saya peluang mengenali anda dan berkongsi pengalaman baru dengan anda semua. Terima kasih.

Negaraku Tanah Tumpahnya Darahku

Saya terbaca artikel Aspirasi : Kisah Negaraku & Mamula Moon oleh Ramli MS di internet. Artikel tersebut tersiar dalam Berita Minggu dalam sisipan BiPop. Saya terfikir apakah identiti sebuah negara telah tercemar apabila lagu kebangsaannya merupakan lagu saduran dari sebuah lagu dari Barat. Maka, di mana jatidiri kecemerlangan sesebuah bangsa itu dapat dipertahankan dan diagung-agungkan sekiranya muzik lagu kebangsaan sendiri adalah lagu saduran. Apakah Malaysia tidak punya pencipta lagu yang hebat ? Atau pemuzik yang hebat ? Lirik Negaraku biarlah terus dikekalkan.

Anda semua pernah teringat sewaktu zaman persekolahan dahulu apabila kita seakan tidak mahu menyanyikan lagu Negaraku dalam tempo march dan lebih selesa menyanyikan lagu Setia oleh Fran yang setiap hari ke udara di RTM 1. Sewaktu saya bersekolah dahulu, selaku Jemaah Disiplin Pelajar yang bertugas, saya harus memilih dua lagu untuk dinyanyikan di dalam perhimpunan. Adakalanya memang sukar untuk menyanyikan lagu Negaraku versi march tanpa iringan muzik. Maka para pelajar akan menyanyikan secara berterabur.

Kita mampu menghasilkan lagu sehebat Keranamu Malaysia. Kita sendiri senang menyanyikan lagu Keranamu Malaysia berbanding lagu kebangsaan kita sendiri. Sudah beberapa tahun lagu Keranamu Malaysia berkumandang saban tahun, tetapi ia tetap menjadi pilihan kita.

Apa tindakan kita ? Apakah ingin terus menyanyikan lagu Negaraku versi saduran ?