Category Archives for anugerah bintang popular

Nabil, dari Raja Lawak Astro ke Bintang Paling Popular

Anugerah Bintang Popular baru saja selesai. Tidak mahu bercerita panjang lebar berkenaan perjalanan acara mahu pun persembahan kerana tidak banyak yang boleh diperkatakan. Melihatkan kepada kemenangan Nabil sebagai Bintang Paling Popular sebenarnya sudah diduga. Popularitinya melonjak tinggi sejak memulakan jejaknya di dalam program realiti Raja Lawak Astro. Walaupun ada yang cuba menafikan yang Nabil sebenarnya lahir dari program itu, ia adalah satu hakikat yang sukar untuk dinafikan. Hakikat itu walaupun pahit harus ditelan.

Sepanjang saya mengenali personaliti-personaliti yang dilahirkan dan dibentuk oleh Astro, tidak pernah saya mendengar mereka melupakan asal-usul mereka. Begitu juga yang saya harapkan dilakukan oleh Nabil. Mentor saya di Astro AWANI iaitu Suhaimi Sulaiman dan juga mentor hiburan saya di Astro iaitu Aznil Haji Nawawi pastinya tidak pernah melupakan dari mana asal-usul mereka.

Astro bijak melahirkan tetapi bagaimana dengan usaha membentuk bakat dan personaliti yang dilahirkan ? Tiga daripada calon teratas dalam kategori Bintang Paling Popular dilahirkan atau pun dibentuk menerusi Astro. Ini bermakna sebanyak 201,468 undian pembaca daripada 242,928 undian pembaca adalah untuk personaliti yang dilahirkan atau pun dibentuk menerusi Astro. Pembaca Berita Harian tersebut yakin dengan produk yang dilahirkan atau pun dibentuk menerusi Astro walaupun cerita yang tersiar tidaklah semuanya yang manis.

Jumlah Undian Bintang Paling Popular 2008

1-NABIL 127,524
2-MAWI 55,080
3-DATO SITI NURHALIZA 29,676
5-AZNIL NAWAWI 18,864
4-MEET UNCLE HUSSEIN 11,784

Apakah langkah seterusnya yang harus difikirkan selepas mereka ini dilahirkan ? Sememangnya bukan sesuatu yang mudah untuk membesarkan seorang bayi, apatah lagi membentuk mereka untuk terus mengekalkan apa yang mereka miliki sekarang.

Jika tidak dididik atau pun dijaga dengan betul, tidak mustahil akan ada yang beralih arah. Bukan sesuatu yang mustahil kerana pemenang bagi beberapa kategori seperti pengacaraan televisyen dan perantara radio telah membuktikannya.

Kita pernah menguasai televisyen dan radio tetapi sejak setahun dua yang lalu, kita telah gagal untuk mengekalkan populariti itu di radio. Jika tidak dikawal dengan baik, pasti satu hari nanti kita juga akan terlepas genggaman kuasa di bidang televisyen.

Akademi Fantasia masih kekal relevan dan buktinya Juara AF musim keenam memenangi kategori Artis Baru Wanita Popular, walaupun tewas dalam kategori Penyanyi Wanita Popular yang terus didominasi oleh Datuk Siti Nurhaliza untuk kali kedua belas berturut-turut.

Dalam keadaan industri hiburan yang semakin tenat dan ini telah dibuktikan dengan kesuraman perjalanan majlis sebentar tadi, program realiti masih merajai pencalonan. Raja Lawak Astro terus berjaya menarik minat penonton dan hasilnya Nabil muncul sebagai pemenang besar malam itu. Nabil yang dicop seperti Mawi dalam Raja Lawak Astro berpeluang untuk memegang takhta tersebut beberapa tahun sekiranya dia tahu apa yang dia mahukan.

Bersediakah kita untuk membentuk jalan personaliti yang ada ke arah jalan yang lebih terancang perjalanannya ? Atau bersediakah kita untuk melihat mereka memilih jalan sendiri ? Lahir dan bentuk lebih baik dari lahir dan abai.

Senarai Pemenang ABP 2008

Bintang Paling Popular - Nabil
Pelakon Filem Lelaki Popular - Que Haidar
Pelakon Filem Wanita Popular - Maya Karin
Penyanyi Lelaki Popular - Mawi
Penyanyi Wanita Popular - Datuk Siti Nurhaliza
Pelakon TV Lelaki Popular - Rosyam Nor
Pelakon TV Wanita Popular - Dynas
Penyanyi Berkumpulan/Duo Popular - Meet Uncle Hussein
Artis Nasyid Popular - Rabbani
Artis Komedi Lelaki Popular - Nabil
Artis Komedi Wanita Popular - Norkhiriah
Artis Baru Lelaki Popular - Nabil
Artis Baru Wanita Popular - Stacy
Pengacara TV Lelaki Popular - Aznil Nawawi
Pengacara TV Wanita Popular - Fara Fauzana
Penyampai Radio Lelaki Popular - Faizal Ismail
Penyampai Radio Wanita Popular - Fara Fauzana
Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat - Jamal Abdillah

Ina Naim Ke Top 5

Ina Naim Ke Top 5

Seperti yang dijangka. Ina Naim berjaya ke Top 5 ABP. Tahniah ! Teruskan mengundi melalui borang yang akan dikeluarkan mulai esok. :)

Beliau akan bertanding bersama…

Rantai

Image Hosted by ImageShack.us

www.myspace.com/rantai
rantai-art.blogspot.com

Rekaletak poster ini simple sahaja, tetapi menarik. Kadang-kadang aku terfikir, kenapa aku tidak mampu untuk menghasilkan grafik komputer yang menarik seperti ini.

Lagi satu aku jealous sangat pada seorang blogger ini. Imej-imej di blog dia memang menangkap perhatian. Sekali pandang, nak pandang lagi. Sekali baca rasa tak puas. Hanya kerana cara dia memainkan warna yang ada untuk memukau bacaan dan pandangan aku. Kelebihan masing-masing.

Selangkah Ke Juara Lagu 21

Selangkah Ke Juara Lagu 21

Etnik Kreatif
Misha – Nafas Cahaya
Noraniza Idris/Liza Hanim – Racau Sang Khalifah
Zahid – Warkah Buat Laila
Syura – Candak
Saiful – Cinta Luhur
Adibah Noor/Senario – Zapin Cinta SMS
Nas Adila – Celik Celik
Bob/Aspalela Abdullah – Hantaran Hati
Ramlah Ram - Maharaja
Natasya – Zapin BahariSaya memilih :
Misha – Nafas Cahaya
Noraniza Idris/Liza Hanim – Racau Sang Khalifah
Zahid – Warkah Buat Laila
Bob/Aspalela Abdullah – Hantaran Hati

Satu kategori yang wajar dimansuhkan kerana penciptaan lagu dalam kategori ini tidak begitu berkembang sejak akhir-akhir ini. Tanpa Siti Nurhaliza, kategori ini seakan mati. Penciptaan Pak Ngah juga sudah kurang berbisa. M.Nasir juga sudah bijak beralih ke dunia pop yang lebih menjanjikan pulangan yang lebih besar dalam industri muzik yang semakin mengecil. Kalau ada pun yang masih terus bertahan mempertahankan irama etnik kreatif ialah Noraniza Idris. Antara empat lagu yang mempunyai peluang cerah untuk melangkah ke Anugerah Juara Lagu 21, saya melihat peluang lebih besar untuk Warkah Buat Laila nyanyian Zahid dan Nafas Cahaya oleh Misha Omar. Peluang lagu tersebut lebih besar. Lagu lain yang mempunyai peluang ialah lagu Racau Sang Khalifah oleh Noraniza Idris/Liza Hanim. Tempat keempat peluang lebih terbuka luas untuk mana-mana lagu lain, tetapi saya mengharapkan peluang lebih besar untuk lagu Hantaran Hati oleh Bob/Aspalela Abdullah.

Balada
Adibah Noor – Terlalu Istimewa
Sarah – Bersamamu
Mawi - Kian
Misha – Ku Seru
Adam - Jatuh
Awie - Iris
Amy Search – Suralaya Dalam D Major
Nora – Secebis Harapan
Liza Hanim – Merawat Luka Terpendam
Hazami – Mungkir Bahagia

Saya memilih :
Adibah Noor – Terlalu Istimewa
Mawi - Kian
Misha – Ku Seru
Nora – Secebis Harapan

Memang sukar untuk memilih lagu terbaik yang layak untuk melangkah ke Anugerah Juara Lagu 21 dari kategori ini. Ini menandakan yang penciptaan lagu di Malaysia lebih terarah kepada muzik genre ini. Lagu Terlalu Istimewa terlalu istimewa untuk dipinggirkan. Ia merupakan antara lagu terbaik Adibah Noor untuk berpeluang membuktikan bakat besarnya. Ku Seru oleh Misha Omar juga mempunyai peluang yang cerah berdasarkan kualiti muzik dan melodinya walaupun lagu tersebut tidaklah sehebat Pulangkan oleh penyanyi dan pencipta yang sama. Tuah Pontianak mungkin berpihak kepadanya. Lagu ketiga yang mempunyai peluang yang agak cerah untuk melangkah ke peringkat yang seterusnya ialah Kian oleh Mawi. Percaya atau tidak, ia antara lagu yang terbaik nyanyian Mawi dan saya lebih suka ia dibawakan secara langsung dan bukan sekadar mendengarnya di corong-corong radio. Tempat keempat peluangnya lebih terbuka luas untuk mana-mana lagu. Saya memilih Secebis Harapan kerana mahu melihat Nora membawakan lagu ini secara langsung. Nora memang jaguh dalam membawakan lagu-lagunya secara langsung. Lebih memukau. Jika bukan Secebis Harapan, saya mahu melihat Merawat Luka Terpendam oleh Liza Hanim.

Pop Rock
M/Nasir/Mawi – Lagu Jiwa Lagu Cinta
M.Nasir – Juwita Citra Terindah
Nurul/Ajai – Serasi Bersama
Ruffedge - Lemas
Pretty Ugly – Diari Seorang Lelaki
Ruffedge – Da Bomb
Elyana – Tak Tercapai Akalmu
Amy Mastura – Bukakanlah Pintu
Sarah/Zahid – Menari Denganku
Nikki/Zahid - Caramu

Saya memilih :
M/Nasir/Mawi – Lagu Jiwa Lagu Cinta
M.Nasir – Juwita Citra Terindah
Pretty Ugly – Diari Seorang Lelaki
Nikki/Zahid - Caramu

Terus terang saya katakan kategori ini merupakan kategori paling sengit tahun ini. Ada beberapa lagu dalam kategori ini yang kualitinya lebih baik berbanding beberapa lagu dalam Etnik Kreatif yang tidak sewajarnya dipertandingkan. Saya agak yakin Lagu Jiwa Lagu Cinta oleh M.Nasir/Mawi dan Caramu oleh Nikki/Zahid bakal melangkah mudah ke Anugerah Juara Lagu 21. Lagu Diari Seorang Lelaki oleh Pretty Ugly juga mampu untuk merebut salah satu tempat ke Juara Lagu jika dibawakan dengan baik oleh mereka. M.Nasir sekali lagi mendapat sentuhan berbisa pada tahun ini dengan lagu Juwita Citra Terindah dan dengan bergaya akan menjadi komposer yang berjaya dengan semua lagu nyanyian dan ciptaannya untuk ke Anugerah Juara Lagu 21. Antara lagu lain yang mungkin membuat kejutan ialah Lemas oleh Ruffedge atau Menari Denganku oleh Sarah/Zahid.

Sekali lagi saya mahu mencadangkan kepada pihak produksi TV3 agar mewujudkan kategori yang berasingan untuk generasi SMS mencapai impian mereka. Tidak salah mewujudkan Juara Kategori SMS Balada, Etnik Kreatif dan Pop Rock serta Persembahan Pilihan SMS dan Persembahan Vokal SMS. Lagi banyak kategori SMS diwujudkan maka lebih banyak wang generasi SMS yang boleh dikaut jika keuntungan yang dimahukan. Tidak salah kan ? Biarlah kategori yang ada dinilai oleh juri bertauliah yang ada. Kalau tidak puas hati pilihan juri sekalipun, saya tulis juga tentang juri kerana blogger sememangnya seorang yang tidak pernah puas dan sukar untuk dipuaskan. :)

Apa pilihan anda ?

Grey’s Anatomy telah berjaya membuatkan saya untuk menulis sesuatu tentang rancangan tersebut. Menonton salah satu episod sebentar tadi membuatkan saya terdetik untuk berfikir. Bayangkan dua tubuh yang tertusuk satu palang besi angkara kemalangan keretapi yang menanti saat meminta nyawa untuk terus hidup. Dua tubuh, seorang bangsa kulit putih dan seorang lagi bangsa kulit hitam. Bertemu dan saling menghadap antara satu sama lain, memberikan harapan kepada diri masing-masing untuk terus hidup. Masing-masing menagih keadilan untuk terus menghirup udara. Malangnya keputusan harus dibuat. Salah seorang perlu berhadapan dengan ketidakadilan dunia. Salah seorang harus mati untuk salah seorang diberikan harapan untuk terus hidup. Apakah faktor yang membolehkan nyawa seseorang diambil ? Warna kulit ? Tahap kecederaan ? Peluang tipis untuk hidup ? Apakah itu namanya keadilan ? Apakah ada keadilan dalam dunia ini ? Adil sekiranya kita memperolehi peluang untuk terus hidup, bagaimana pula keadilan yang diperolehi oleh mereka yang punya peluang tipis untuk terus merasai hidup ? Jika anda berhadapan dengan situasi demikian, apa pilihan anda ? Untuk terus hidup atau menghadapi mati ?

Ina Naim Calon Penyanyi Wanita Popular ?

Industri muzik semakin galak dengan anugerah. Industri muzik semakin terdesak. Peminat semakin tersedak. Nafas saya semakin sesak ! Dari 38 penyanyi, baik yang betul-betul seorang penghibur, atau yang baru cuba bertapak untuk menjadi penyanyi, atau yang sememangnya sudah begitu lama menyanyi, atau pun hanya sekadar popular kerana skandal dengan penyanyi, atau sebahagian daripadanya sudah bergelar diva, yang telah tersenarai dalam kategori Penyanyi Wanita Popular benar-benar membuatkan saya tidak lalu makan. Terselit nama Ina Naim dalam kerlipan bintang seperti Aishah, Amy Mastura, Camelia, Dayang Nurfaizah, Ella, Fauziah Latiff, Francisca Peter, Jaclyn Victor, Misha Omar, Nora, Ramlah Ram, Sheila Majid dan Siti Nurhaliza (sekadar menyebut beberapa nama). Apa sudah jadi ?

Dalam terkilan memikirkan beberapa nama yang tercicir dari senarai seperti Ning Baizura dan Nikki, saya lantas tersenyum apabila memikirkan kesan yang akan berlaku apabila Ina Naim berjaya meloloskan dirinya ke dalam kelompok Top 5 pada bulan Februari kelak.

Lebih menjadi mimpi ngeri apabila Ina Naim berada di garisan yang sama dengan Sheila Majid, Misha Omar, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah dan Siti Nurhaliza. Dan akan menjadi trauma yang lebih kronik, apabila kelak Ina Naim berjaya merosakkan rekod 10 tahun kemenangan berturut-turut Siti Nurhaliza menerusi kategori tersebut.

Apa taruhan Ina Naim ? Penawar Rindu ? Aku Tak Punya Siapa ? Buku Catatan Duka Ina Naim untuk menang kategori tersebut ? Jika Ina Naim berjaya menempatkan dirinya dalam kelompok tersebut, ia merupakan satu tamparan yang hebat buat Berita Harian kerana populariti bukan lagi dinilai dari bakat tetapi kini populariti dinilai dari kontroversi dan skandal cinta.

Walaupun saya tidaklah begitu bersetuju atau menggemari bekas tunangnya, sekurang-kurangnya beliau boleh juga menyanyi dan menghibur serta ada aura tersendiri tetapi penyenaraian nama Ina Naim dalam kategori tersebut sebenarnya lebih memburukkan industri muzik dan telah merendahkan kualiti kategori tersebut. Ina Naim tiada apa-apa untuk industri. Namanya sekadar dijaja. Itu saja. Noktah !

Apakah syarat untuk tersenarai dalam kategori tersebut ? Dua lagu dari album yang sama atau tempias dikaitkan dengan nama bekas tunangnya ? Sekiranya antara 5 calon yang terpilih ada nama Ina Naim, maka cepat-cepatlah empat calon yang lain berusaha untuk dikaitkan dengan bekas tunangnya agar tempiasnya dapat dirasai.

Oleh yang demikian, saya menyarankan agar undilah Ina Naim kerana beliau amat memerlukan kemenangan ini untuk berdiri sama tinggi dengan pemenang kategori Penyanyi Lelaki Popular. Itulah impiannya. Marilah kita realisasikan impiannya. Mesti seronok kan dapat ambil gambar sambil pegang anugerah sama-sama. Yang tidak tercalon dalam kategori ini, faham-faham saja lah.

nota sultanmuzaffar : Nantikan ulasan filem The Red Kebaya dan Cinta. Industi perfileman semakin meriah, industri muzik semakin galak, dunia saya semakin sibuk dan racau. Saban hari ada saja program baru, acara majlis, pemikiran baru yang perlu diperah untuk terus hidup dan merasai nikmat hidup, lalu saya terfikir apakah ini jalan yang betul atau terus berada di jalan sekarang.

Ulasan Anugerah Bintang Popular

Ulasan Anugerah Bintang Popular
Arena Of Stars, Genting Highlands

Ini kali pertama saya mengikuti Anugerah Bintang Popular secara langsung di Genting Highlands. Satu pengalaman yang biasa bagi saya, tiada bezanya dengan majlis-majlis anugerah yang lain. Cuma anugerah ini nampak lebih glamor dengan artis wanita melaram pakaian gaun petang yang cantik-cantik belaka (meleret-leret hujung kain) serta artis lelaki bergaya segak dengan tuxedo masing-masing (hitam jadi kegemaran).

Saya dan beberapa orang kawan duduk agak jauh dari kelompok wartawan kerana kali ini saya pergi atas jemputan dari akhbar NST, akhbar yang mencetuskan polemik kontroversi baru-baru ini. Tidak lah begitu jauh cuma selang beberapa baris sahaja dan sudut pandangan kami masih agak menarik.

Persembahan Pembukaan pada malam tersebut telah dimulakan dengan lagu dari filem Diva Popular bertajuk Diva Bermimpi oleh Ezlynn, Umie Aida, Azean Irdawaty, Afdlin Shauki, Sheila Rusly dan M.Rajoli. Boleh saya sifatkan sebuah persembahan yang bertenaga untuk memulakan sesebuah majlis anugerah. Sampai koyak-koyak baju penari lelaki yang mengiringi persembahan pelakon-pelakon dari filem tersebut. Walaupun persembahan tersebut adalah persembahan miming, berada di dewan tidak begitu ketara mimingnya kerana sistem bunyi yang bergaung. Boleh tahan juga lirik lagu tersebut yang telah diubah kepada beberapa rangkaian kata yang boleh disifatkan menyindir seperti ku bintang popular kau bintang mi segera, kuali kemek tak siapa yang undi dan beberapa lagi. Terlalu ramai sangat di atas pentas.

Penyampai Radio Wanita Popular : Linda Onn (tepat)
Penyampai Radio Lelaki Popular : Khairil Rashid (tersasar : Halim Othman)
Penyampai : Amy Search dan Nabila

Ramalan saya untuk kategori Penyampai Radio Wanita Popular mengena dengan tepat kerana populariti Linda Onn di radio sememangnya sukar untuk digugat lebih-lebih lagi dengan menjadi duta kepada beberapa produk menjadikan namanya sentiasa berada di bibir peminatnya. Malangkan untuk kategori Penyampai Radio Lelaki Popular rupanya populariti Halim Othman masih sukar digugat oleh Khairil Rashid atau pun Kieran. Mereka antara dua nama yang kuat untuk menyekat penguasaan Halim Othman. Moga dengan penghijrahan Halim Othman ke Sinar FM memungkinkan pemenang bertukar tangan pada tahun hadapan. Penyampai anugerah segmen pertama ini agak membosankan dengan jenaka anak-beranak yang lebih syok sendiri.

Pengacara TV Lelaki Popular : Aznil Nawawi (tepat)
Pengacara TV Wanita Popular : Farah Fauzana (tepat)
Penyampai : Marsha, Que Haidar & Liyana

Seperti sudah dijangka, Aznil Nawawi buat kali ketiga kerana bahana Akademi Fantasia berjaya untuk mengekalkan popularitinya sebagai Pengacara TV Lelaki Popular. Farah Fauzana seperti yang dijangka akan menyelitkan tagline HotFM dalam ucapannya tetapi kali ini menggunakan pendekatan yang lebih kreatif apabila turut menyelitkan ERA dan Melodi dalam ucapan terima kasihnya. Sama seperti yang pernah dilakukan oleh Rosyam Noor sewaktu memenangi Bintang Paling Popular beberapa tahun dahulu.

Persembahan Amuk dan Ruffedge
Persembahan Amuk dan Ruffedge saya suka kerana gabungan rock dan hip-hop dalam sesebuah persembahan. Persembahan-persembahan bertenaga seperti mereka ini memang lebih sesuai untuk ditonton secara langsung kerana sistem bunyi yang lebih bagus dari ditonton melalui siaran televisyen.

Artis Berkumpulan/Dua Popular : Ruffedge (tepat)
Penyampai : Zizi ERA dan Erema

Ruffedge mengungguli kategori ini seperti yang dijangkakan. Agak sukar untuk VE atau pun Too Phat untuk menyekat penguasaan mereka. Saya berpuas hati dengan keputusan tersebut. Penyampai anugerah tersebut ialah Zizi penyampai ERA yang paling junior serta Erema. Zizi nampak sedikit kurus dengan tuxedo tersebut.

Aku Tanpa Cintamu oleh Mirwana dan Jay Jay
Nasyid era Mirwana memang nampak macam salah konsep tetapi lagu tersebut memang sedap didengar. Persembahan Jay Jay dan Mirwana pun bagus. Selamba sahaja Jay Jay membawakan lagu tersebut.

Penyanyi Nasyid Popular : Mirwana (tersasar : Rabbani)
Artis Komedi Lelaki Popular : Afdlin Shauki (tersasar : Saiful Apek)
Artis Komedi Wanita Popular : Sheila Rusly (tepat)
Penyampai : Maria Arshad, Fazura dan Awal Beat TV

Malangnya Mirwana gagal dalam kategori Penyanyi Nasyid Popular. Sebaliknya Rabbani masih mengungguli kategori ini. Apa yang pembaca suka tentang Rabbani ini pun saya tidak tahu. Lebih baik bagi pada Raihan yang lebih senior dan lebih terserlah penguasaan mereka di antara bangsa. Mungkin pembaca Malaysia sukakan yang gemuk-gemuk saja agaknya. Jangan marah ya Fiebie dan Klubbkidd. (ketawa) Untuk meneutralkan kembali kenyataan sebelum ini, nampaknya pilihan saya iaitu Afdlin Shauki gagal untuk meraih gelaran Artis Komedi Lelaki Popular. Mungkin rata-rata peminat Afdlin Shauki terdiri daripada kolompok urban yang jarang minat mengundi tidak seperti kelompok peminat Saiful Apek yang lebih menyeluruh serta minat mengundi. Sheila Rusly juga masih mengekalkan kejuaraannya apabila dipilih sekali lagi memenangi kategori ini. Sheila Rusly merupakan antara calon yang masih muda dan bergetah. Adibah Noor pun masih muda tetapi belum cukup bergetah untuk diundi peminat. Saingan-saingan lain sudah mula memasuki era senja nan merah.
Kau Di Hatiku oleh Zainal Abidin dan Pija

Dalam banyak-banyak lagu dendangan Zainal Abidin, dia tetap bawa lagu Kau Di Hatiku. Sebuah lagu lama yang membosankan. Sepatutnya Zainal bawalah lagu seperti Hijau, Manis atau Inayah. Lebih membawakan saat-saat nostalgia kerana Zainal Abidin menang Bintang Paling Popular kerana album Hijau. Sememangnya lagu Kau Di Hatiku itu adalah ciptaan dan nyanyian penyanyi antarabangsa Phil Collins. Tidak mahu kalah ! Tetap mahu dilihat sebagai penyanyi yang pernah membawakan lagu yang dicipta oleh pencipta antarabangsa. Mereka memulakan persembahan sahaja, saya tahu persembahan itu tidak bagus kerana vokal Zainal Abidin dan Pija berada pada range yang berbeza.

Artis Baru Lelaki Popular : Mawi AF3 (tepat)
Artis Baru Wanita Popular : Farah AF2 (tepat)
Penyampai : Fasha Sandha dan Jehan Miskin

Saya kira pemenang untuk dua-dua kategori ini adalah dua orang yang paling layak untuk dua-dua gelaran tersebut. Mawi dan Farah ialah dua bintang yang dihasilkan melalui program realiti tv Akademi Fantasia. Sokongan peminat mereka agak utuh berbanding bintang-bintang yang lahir secara semula jadi. Kedua-dua bintang tersebut mempunyai laman web yang kukuh dan kesatuan mereka amat utuh. Satu benteng yang sukar untuk ditembus oleh mana-mana pihak. Walaupun laman web MawiFC adalah laman web sentiasa diserang “hackers” kononnya. Tiba-tiba hilang ! Penyampai anugerah iaitu Fasha Sandha dan Jehan Miskin banyak membebel dan mengada-ngada kepada perkara yang tidak perlu. Bosan.

Proud Mary oleh Anita Sarawak

Orang kata persembahan Anita Sarawak hebat, saya kata tidak. Kalau hebat saya sudah bangun menari tanpa perlu disuruh-suruh. Mungkin sifat orang Malaysia yang malas bertepuk tangan dan juga malas untuk memberikan penghargaan kepada sebuah persembahan yang hebat seperti Anita Sarawak. Beliau hebat dan gagah di pentas. Ligat sekali persembahannya. Jangan sebut tentang kualiti vokal kerana ini persembahan secara langsung. Saya kagum dengan semangat beliau.

Pelakon TV Lelaki Popular : Fahrin Ahmad (tersasar : Rosyam Noor)
Pelakon TV Wanita Popular : Eja (tersasar : Fasha Sandha)
Penyampai : Fauziah Nawi dan Norman Hakim

Dua-dua kategori saya tersasar. Nampak sangat saya bukan penonton televisyen. Kebanyakan drama yang popular di televisyen datangnya dari saluran TV3 yang saya jarang-jarang tekan kecuali untuk Buletin Utama. Paling menarik kategori Pelakon TV Lelaki Popular apabila Rosyam Noor mengumumkan akan menarik diri dari Anugerah Bintang Popular bermula tahun hadapan untuk memberikan laluan kepada bakat-bakat baru. Ada cakap-cakap sinis di belakang pentas menyatakan yang tahun ini Mawi bakal berlakon drama TV, maka sebelum kalah kepada Mawi lebih baik Rosyam Noor tarik diri dahulu. Itu sekadar cakap-cakap belakang pentas. Eja nampaknya gagal mengekalkan gelaran tersebut sebaliknya berpindah tangan kepada Fasha Sandha. Popular sangat ke lakonan Fasha Sandha sehingga berjaya menyapu kategori ini ? Sekali lagi, saya bukan penonton televisyen yang setia. Saya hanya penonton televisyen yang setia pada bulan Mei hingga Ogos sahaja. Selain daripada itu, saya tertarik dengan satu jawapan dari Fauziah Nawi tentang persediaan yang diperlukan untuk menjadi pelakon yang baik. Jawapan dari Fauziah Nawi sungguh sinis dan tidak ramai yang perasan agaknya apabila beliau mengatakan “penatlah Marlia Musa mengajar” Selain Akademi Seni Kebangsaan, Marlia Musa adalah tenaga pengajar untuk Akademi Fantasia.

Penyanyi Lelaki Popular : Mawi (tepat)
Penyanyi Wanita Popular : Siti Nurhaliza (tepat)
Penyampai : Fauziah Latiff, Noraniza Idris dan Nana

Mana ada penyanyi yang mampu menggugat populariti Siti Nurhaliza atau pun Mawi pada waktu-waktu sekarang. Siti Nurhaliza masih kekal bertakta di hati para peminatnya. Yang menarik apabila Siti Nurhaliza turut mengucapkan terima kasih beliau kepada orang yang disayangi. Siapa agaknya ? Mawi pula mengucapkan terima kasihnya kepada ibunya yang world ! Tiada apa yang mengejutkan semuanya telah dijangka. Dalam banyak-banyak penyampai, apabila diumumkan nama Noraniza Idris selaku penyampai anugerah ini hati saya sudah terdetik apakah Siti Nurhaliza gagal kali ini ? Mujur Siti Nurhaliza menang juga untuk kali yang ke entah berapa kali. Cantik kan Siti Nurhaliza dengan gaun kuning siap dengan pony tail macam Raja Sehari pula. Eh ! Ke mana perginya kalung mutiara yang berharga 3.6 juta yang dikatakan akan diperagakan oleh Siti Nurhaliza pada malam itu ?

Sekadar Di Pinggiran oleh Jaclyn VictorDalam banyak-banyak persembahan, inilah antara persembahan yang boleh saya sifatkan sebagai yang terbaik. Terbaik dari segi showmanship serta persembahan vokalnya yang hebat. Sayang sekali hanya sebuah lagu yang didendangkan untuk mengingati saat-saat kemenangan Fran sebagai pemenang pertama Penyanyi Wanita Popular. Mujur tidak didendangkan lagu Setia. Gaun malam Jaclyn pada malam tersebut nampak begitu bersesuaian dengannya.

Pelakon Filem Lelaki Popular : Rosyam Noor (tepat)
Pelakon Filem Wanita Popular : Erra Fazira (tersasar : Maya Karin)
Penyampai : Erma Fatima dan Shaharuddin Thamby

Ku sangkakan Erra Fazira akan mendapat undi simpati seperti Mas dapat masa Akademi Fantasia 2 dulu. Rupanya sangkaan saya meleset sama sekali. Erra Fazira pulang tangan kosong. Erra datang ke ? Maya Karin berjaya memintas. Nampaknya watak beliau dalam Puntianak Harum Sundal Malam 2 berjaya memintas Erra Fazira dari filem entah saya tidak ingat. Kalau sudah popular di televisyen, tentunya Rosyam Noor akan popular di filem juga. Kenapa Pelakon Pembantu Lelaki/Wanita Popular dimansuhkan ?

Anugerah Khas Bintang Popular : Datuk Ahmad Nawab

Sebagai mengenang jasa Datuk Ahmad Nawab, Anugerah Khas Bintang Popular telah dianugerahkan kepada beliau. Sayang sekali tidak ramai bintang yang bangun memberikan penghormatan kepada beliau sewaktu menerima anugerah tersebut. Sekadar tepukan paksa. Sudah banyak lagu yang dicipta oleh Datuk Ahmad Nawab dan masih kekal malar segar di telinga para pendengar muzik tempatan. Nama-nama seperti Datuk Sharifah Aini, Hail Amir, Siti Fairuz, Ramlah Ram, Salamiah Hassan adalah antara yang popular kerana lagu ciptaan beliau.

Medley Istimewa Datuk Ahmad Nawab dipersembahakan rangkaian lagu-lagu seperti Wajah Kesayangan Hamba, Ku Gembira Di Sampingmu, Tiada Maaf Bagimu dan Kasih oleh Zahid, Adibah Noor, Ning Baizura dan Hazami. Saya boleh merasakan kehebatan lagu-lagu ciptaan beliau yang telah disusun semula oleh maestro terkenal Ramli MS. Bermula dengan Zahid yang membawakan lagu popular Hail Amir saya dapat merasakan yang Zahid lebih sinonim dengan irama-irama sedemikian. Irama hip-hop sukar untuk didekati oleh para peminatnya. Maestro, syarikat pengurusan Zahid harus mengubah corak perancangan untuk Zahid dalam album keduanya sekiranya ada. Adibah Noor membawakan lagu Ku Gembira Di Sampingmu dengan baik, begitu juga Ning Baizura dengan lagi Tiada Maaf Bagimu. Lagu dendangan asal Datuk Sharifah Aini itu telah disampaikan dengan cemerlang oleh Ning Baizura di hadapan Siti Nurhaliza. Tajuk lagu sahaja sudah cukup menakutkan dengan lirik-lirik penuh sinis yang ditujukan untuk Siti Nurhaliza. Ada banyak lagu lain, lagu itu juga yang menjadi pilihan. Persembahan medley ditutup oleh Hazami dengan lagu Kasih yang pernah dipopularkan oleh Sudirman Hj Arshad dan pernah disampaikan oleh Adam dalam Akademi Fantasia 2. Tetap mahu sebut kan ! (ketawa)

Anugerah Seniman Veteran : Hussein Abu Hassan
Anugerah Seniwati Veteran : Azean Irdawaty

Setelah puluhan tahun bergelumang dalam industri hiburan, inilah merupakan kali pertama Seniman Hussein Abu Hassan dianugerahkan sebuah gelaran untuk dikenang sepanjang hayatnya. Dalam usia yang semakin meningkat tua, beliau telah dipimpin oleh anaknya iaitu Dilla serta anak saudaranya Rosyam Noor. Jika ada yang pelik kenapa tiba-tiba Rosyam Noor gila glamor mahu pimpin pemenang anugerah pada malam tersebut, jawapannya ialah Hussein Abu Hassan ialah bapa saudaranya yang telah membawa beliau ke layar perak melalui filem Gila Gila Remaja. Jadi tidak ada salahnya beliau memimpin bapa saudaranya. Ucapan Azean Irdawaty begitu teratur sambil diiringi suara yang tersekat-sekat menahan sebak. Saya menunggu juga sekiranya beliau melaungkan kata keramat “Lihatlah dunia ! Aku anak wayang !”

Bintang Paling Popular 2005 : Mawi (tepat) 351,570 undi

Hebat ! Bintang realiti Akademi Fantasia sebuah program kegemaran saya telah berjaya melahirkan sebutir bintang yang mampu menggugat populariti Siti Nurhaliza, Rosyam Noor dan Saiful Apek. Saya sebut program kegemaran saya, bukan bintang kegemaran saya. Jangan salah faham. Dengan undian 351,570 undi, Mawi berjaya mengetepikan saingannya Siti Nurhaliza (57,117 undi), Rosyam Noor (20,883 undi), Saiful Apek (7,554 undi) dan Afdlin Shauki (5,781 undi). Hebat aura budak botak ni ! Tiada yang mengejutkan kerana sememangnya Mawi popular di hati para peminatnya. Sebagai seorang artis baru, Mawi harus berusaha untuk memperbaiki dirinya agar kredibiliti yang beliau cari akan diperolehi. Kejayaan akan menjadi lebih manis sekiranya populariti dan kredibiliti berjalan seiring dan kualiti dan kuantiti sama-sama dikecap.

Lagu Cinta Lagu Jiwa oleh Mawi dan M.Nasir

Sebuah persembahan penutup yang tidak memorable dan akan diingati sampai bila-bila. Sebuah persembahan penutup harus meninggalkan kesan kepada penonton seperti persembahan medley Datuk Sharifah Aini, Siti Nurhaliza dan Misha Omar yang diingati sampai bila-bila. Saya lebih bersiap sedia untuk makan di Post Award Party kerana sejuk-sejuk begini cepat lapar.

Pengalaman Mengerikan di Tanya Linda

Sesiapa sahaja yang menonton program Tanya Linda malam ini jangan gelak ya ! Memang payah bila harus duduk di kerusi tersebut tanpa rela untuk menyokong pilihan peminat. Maka terpaksalah saya menelan debat-debat hebat dari Fauzi Marzuki dan Aziz Bakar. Pendapat-pendapat mereka saya sokong.

Bagaimana saya perlu memotong komen-komen dari nama-nama besar seperti Fauzi Marzuki atau Aziz Bakar sedangkan saya bersetuju dengan komen-komen mereka ? Nama mereka terlalu besar dalam industri untuk saya yang mewakili peminat bertikam lidah dengan mereka.

Oleh itu saya hanya menjawab soalan-soalan dari Linda dengan hati yang tidak ikhlas sekadar untuk cukup syarat menyokong pilihan peminat. Jawapan-jawapan saya sekadar main-main dan saya sendiri tidak tahu apa yang saya perkatakan.

Saya redha sekiranya diberikan komen negatif oleh para peminat kerana gagal melaksanakan tugas menyokong pilihan mereka. Saya bukanlah orang yang terbaik untuk duduk di kerusi tersebut untuk menyokong pilihan peminat kerana pandangan saya sentiasa berada di pihak juri. Presiden MawiFC lebih layak untuk duduk di situ mempertahankan pilihan peminat. Saya sekadar pemerhati bebas Akademi Fantasia yang tetap berpegang kepada pilihan juri lebih baik dari pilihan peminat.

Sebelum bereadar sempat juga saya berbual dengan Aziz Bakar tentang pencalonan album Yang Tercinta nyanyian Mawi. Saya sempat memberikan buah pandangan saya kepada beliau agar kategori Album Mini Terbaik diwujudkan untuk memberikan peluang kepada album-album yang mempunyai 10 lagu ke bawah diberikan peluang untuk bertanding dalam Anugerah Industri Muzik. Sebelum ini kategori Album Nasyid Terbaik dan Album Dangdut Terbaik pernah diwujudkan sebagai memenuhi tuntutan pasaran yang berubah mengikut trend. Maka tidak menjadi pelik sekiranya, Album Mini Terbaik diwujudkan. Ini sebagai memberikan penghargaan kepada penyanyi dan syarikat rakaman yang tidak berkemampuan untuk meletakkan 10 lagu dalam album mereka. Dengan adanya 8 lagu, harga cakera padat menjadi lebih murah dan mudah untuk bersaing di pasaran. Hasilnya telah terbukti apabila album-album terbitan Maestro agak lagu di pasaran. Malangnya sudah terlambat kerana sikap tunggu dan lihat beberapa syarikat rakaman. Kita tunggu sahaja perubahan yang akan di bawa oleh AIM yang akan datang.

Malam ini saya akan ke Tirai Akhir Puteri Gunung Ledang The Musical. Tidak mahu menonton Tanya Linda.

Ramalan Anugerah Bintang Popular 2005

Ramalan Anugerah Bintang Popular 2005
Pelbagai majlis anugerah telah dan bakal berlangsung pada bulan Februari hingga April ini. Anugerah Juara Lagu ke-20 (AJL20) membuka tirai pada 5 Februari kemudian ada Anugerah MTV Asia, Anugerah Seri Angkasa, 4th Cameronian Arts Awards, Anugerah Planet Muzik, Anugerah Bintang Popular-Berita Harian (ABP-BH2005) dan juga Anugerah Industri Muzik (AIM06). Konsep pertandingan ABP adalah berasaskan undian peminat menerusi akhbar. Oleh sebab nama anugerah ini popular maka penggunaan peminat selaku panel juri tidak perlu saya pertikaikan. Saya harus mempertikaikan sekiranya nama anugerah ini terbaik tetapi penggunaan SMS diguna-pakai untuk menentukan pemenang. Gelaran terbaik bukan milik peminat. Milik peminat hanyalah untuk gelaran popular. Peminat belum layak untuk menilai yang terbaik.Menerusi ramalan anugerah kali ini, saya meletakkan pilihan saya dalam senarai “Saya Undi”. Manakala ramalan saya untuk memenangi setiap kategori saya senaraikan dalam bahagian “Undian Untuk Menang Kereta” Apa yang “Saya Undi” tidak semestinya ramalan saya untuk menang tetapi sekadar itulah yang saya undi. Tetapi kalau anda ingin memenangi kereta, anda perlu undi berdasarkan pilihan saya di “Undian Untuk Menang Kereta” kerana itulah ramalan saya untuk anugerah kali ini.

Jom kita tengok siapa yang kena…

A. Pengacara TV Lelaki Popular
Ally Iskandar
Aznil Nawawi
Azwan Ali
Jimmy Shanley
Wahid Senario

Populariti Akademi Fantasia sukar untuk menggugat peluang Aznil Nawawi untuk sekali lagi menggondol anugerah kategori ini. Satu perkara yang menarik apabila bakat-bakar baru dalam bidang pengacara seperti Jimmy Shanley dan Ally Iskandar mampu untuk membolosi diri mereka dalam kelompok pengacara yang lebih berpengalaman. Ini membuktikan rancangan Trek Selebriti mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Satu peluang yang boleh dipergunakan oleh Astro.TV.

Saya Undi : Aznil Nawawi
Undian Untuk Menang Kereta : Aznil Nawawi
Sudah Sampai Masanya Untuk Menang : Jimmy Shanley

B. Pengacara TV Wanita Popular
Cheryl Samad
Farah Fauzana
Linda Onn
Norzie Pa’Wan Chik
Raja Azura

Sejak muncul dalam Melodi, nama Farah Fauzana semakin dikenali ramai. Bermula d Radio ERA, Farah Fauzana menapak ke arena televisyen dan berjaya menyerlahkan bakat beliau di TV. Pengaruh Majalah 3 juga belum mampu untuk mengetepikan peluang Farah Fauzana untuk muncul pemenang kategori ini. Sekiranya beliau menang, sudah pasti perkataan “Lebih Hangat Daripada Biasa” akan terpacul dari mulutnya. Maaf lah sekiranya tersinggung apabila saya menukar tagline HotFM yang sememangnya salah dari segi tatabahasanya. Daripada bukan Dari. Linda Onn hanya jaguh di radio tetapi masih belum kukuh pengaruhnya di TV. Rancangannya Tanya Linda hanya ditonton oleh pelanggan Astro dan rancangan tersebut masih belum baik kualitinya dan belum cukup popular.

Saya Undi : Farah Fauzana
Undian Untuk Menang Kereta : Farah Fauzana
Sudah Sampai Masanya Untuk Menang : Farah Fauzana

C. Penyampai Radio Lelaki Popular
Adifashla (XFresh)
Halim Othman (ERA)
Khairil Rashid (ERA)
Kieran (ERA)
Najman (Sinar)

Sukar untuk saya meramalkan peluang Halim Othman sejak beliau berpindah ke Sinar FM. Popularitinya sudah pasti jatuh sedikit kerana pendengar Sinar bukanlah golongan yang suka menghantar undian. Jika kesetiaan peminat Halim Othman diambil kira, sudah pasti peluangnya masih ada untuk memenangi kategori ini. Saya melihat peluang Khairil Rashid agak besar untuk memintas Halim Othman. Namun demikian, populariti beliau boleh saya sifatkan agak seimbang dengan Kieran kerana mereka popular menerusi segmen Pagi Di ERA. Sudah pasti undian terpecah dua. Adifashla disifatkan masih baru dalam kategori ini dan kehadirannya sebagai penyampai perlu diberikan perhatian kerana hanya melalui XFresh, beliau berjaya memboloskan dirinya.

Saya Undi : Khairil Rashid (ERA)
Undian Untuk Menang Kereta : Halim Othman (ERA)
Sudah Sampai Masanya Untuk Menang : Adifashla (XFresh)

D. Penyampai Radio Wanita Popular
Julia (XFresh)
Linda Onn (ERA)
Nana (ERA)
Nila Kurnia (ERA)
Rina (Best104)

Seperti Adifashla, penyertaan Julia melalui XFresh dalam kategori ini merupakan satu tanda bahawa XFresh merupakan satu saluran radio yang bukan main-main. Gandingan Adifashla dan Julia telah memeriahkan suasana malam kebanyakan pendengar. Namun begitu pengaruh Linda Onn masih kukuh di corong radio. Agak sukar untuk menggugat peluang Linda dari terus mengungguli kategori ini. Nana seharusnya tidak dipinggirkan kerana telah berjaya melaksanakan tugasnya dengan cemerlang. Peluang Linda dan Nana agak seimbang.

Saya Undi : Julia (XFresh)
Undian Untuk Menang Kereta : Linda Onn (ERA)
Sudah Sampai Masanya Untuk Menang : Nana (ERA)

E. Artis Komedi Lelaki Popular
Afdlin Shauki
Azlee Jaafar
Lan Pet Pet
Saiful Apek
Wahid Senario

Bersandarkan kualiti saya akan memilih Afdlin Shauki untuk menang kategori ini. Namun demikian, populariti Saiful Apek sukar untuk digugat walaupun video sedang menghisap sisha telah tersebar luas. Rakan-rakan Apek menerusi kumpulan Senario sekadar pelengkap calon kerana tidak banyak kerja-kerja mereka yang bagus untuk saya berikan perhatian melainkan program Senario yang semakin basi lawaknya. Saya melihat peluang agak seimbang antara Saiful Apek dan Afdlin Shauki. Sekiranya populariti filem Baik Punya Cilok dan Buli Balik dijadikan sandaran, Afdlin Shauki mampu untuk mencuri tumpuan dalam kategori ini.

Saya Undi : Afdlin Shauki
Undian Untuk Menang Kereta : Saiful Apek
Sudah Sampai Masanya Untuk Menang : Afdlin Shauki

F. Artis Komedi Wanita Popular
Adibah Noor
Kartina Aziz
Norlia Ghani
Rosnah Mat Aris
Sheila Rusly

Pemenang kategori ini akan ditentukan melalui komedi jenis apa yang disukai oleh penonton. Ada penonton yang menyukai komedi bersahaja, komedi bijak atau komedi yang dibuat-buat. Adibah Noor boleh saya sifatkan sebagai mewakili kelompok komedi yang sedikit bijak. Sheila Rusly terlalu dibuat-buat dengan tagline Kak Nam 12 nya. Kartina Aziz, Norlia Ghani dan Rosnah Mat Aris mewakili kelompok komedi golongan veteran. Saya lebih tertarik dengan komedi Adibah Noor berbanding komedi Sheila Rusly.

Saya Undi : Adibah Noor
Undian Untuk Menang Kereta : Sheila Rusly
Sudah Sampai Masanya Untuk Menang : Adibah Noor

G. Artis Baru Lelaki Popular
Bob AF2
Mawi
Shazzy
Que Haidar
Zahid

Saya jangkakan peratus undian untuk Mawi bagi kategori ini adalah 98% berbanding saingannya yang lain. Pengaruh Mawi terlalu kukuh untuk dirobohkan oleh pesaing-pesaing yang lain. Pemenang anugerah ini tidak lain dan tidak bukan ialah Mawi. Penyertaan lain dalam kategori ini adalah sekadar cili penghias lauk.

Saya Undi : Mawi
Undian Untuk Menang Kereta : Mawi
Balik-Balik Dia Menang : Mawi

H. Artis Baru Wanita Popular
Farah AF2
Nora Danish
Pija
Sharifah Amani
Sharifah Zarina

Bersandarkan kualiti pilihan saya ialah Sharifah Amani kerana mutu kerja beliau dalam Sepet yang amat baik. Pengaruh Akademi Fantasia yang masih belum pudar buat penyokong Farah AF2 tentunya tidak mahu melihat Farah pulang tangan kosong dan mereka akan mengundi untuk Farah. Nama Sharifah Zarina juga tidak wajar diketepikan. Malangnya pengakuan mengatakan yang beliau telah berkahwin sedikit sebanyak mengurangkan undian untuknya. Saya hampir pasti pengaruh peminat Akademi Fantasia masih kukuh dan memberikan kemenangan untuk Farah AF2.

Saya Undi : Sharifah Amani
Undian Untuk Menang Kereta : Farah AF2
Sudah Sampai Masanya Untuk Menang : Sharifah Amani

I. Penyanyi Nasyid Popular
Hijjaz
In-Team
Mirwana
Rabbani
Raihan

Siapa sahaja yang menang, saya tidak ambil pusing kerana saya kurang mengikuti perkembangan irama nasyid. Melainkan sekiranya Mawi termasuk dalam kategori ini. Tentunya Mawi akan menang. Rabbani dan Raihan merupakan kelompok otai dalam irama nasyid. In-Team, Mirwana dan Hijjaz mewakili kelompok generasi baru dalam irama nasyid. Populariti lagu Aku Tanpa Cintamu nyanyian Mirwana dan Jay Jay tidak harus dipandang sepi. Peluang untuk Mirwana tetap ada untuk memintas lebih-lebih lagi apabila mereka berjaya di Anugerah ERA dalam kaedah yang sama.

Saya Undi : Mirwana
Undian Untuk Menang Kereta : Mirwana
Sudah Sampai Masanya Untuk Menang : Mirwana

J. Artis Berkumpulan/Dua Popular
Jinbara
KRU
Ruffedge
Too Phat
VE

Saya menyukai VE dan akan mengundi untuk mereka. Saya melihat pengaruh Ruffedge lebih kukuh berbanding VE dalam kategori ini. Kelompok peminat Too Phat terdiri daripada kelompok urban yang tidak gemar membaca akhbar Melayu. Kejutan mungkin berlaku untuk Too Phat sekiranya penyokong Siti Nurhaliza memberikan undian mereka untuk Too Phat sebagai menyatakan tanda sokongan terhadap lagu Dua Dunia nyanyian duet mereka berdua.

Saya Undi : VE
Undian Untuk Menang Kereta : Ruffedge
Sudah Sampai Masanya Untuk Menang : Too Phat

K. Penyanyi Lelaki Popular
Adam
Jamal Abdillah
Mawi
Vince
Zahid

Mustahil ada penyanyi lain dapat mengatasi aura Mawi untuk kategori ini. Ini merupakan anugerah kedua Mawi pada malam tersebut. Peluang Vince dan Zahid seakan terlalu tipis untuk memintas Mawi kerana Akademi Fantasia hanya popular pada tahun yang terkini. Juara-juara yang lalu akan dilupakan apabila muncul musim baru. Peluang Adam lebih sukar kerana bergantung pada populariti KRU yang juga telah masuk ke ambang yang gelap juga. Populariti semasa menyaksikan saingan antara Hero Belia Benci Dadah dan Jamal Abdillah yang sama-sama saling menumpang populariti masing-masing.

Saya Undi : Adam
Undian Untuk Menang Kereta : Mawi
Dia Menang Lagi : Mawi

L. Penyanyi Wanita Popular
Dayang Nurfaizah
Ella
Farah AF
Siti Nurhaliza
Waheeda

Kategori ini agak berbahaya. Walaupun umum berani mengatakan Siti Nurhaliza akan pulang selesa dengan anugerah ini tetapi saya melihat peluang untuk Waheeda masih terbuka luas. Penyokong Mawi mungkin mampu membuat kejutan apabila melakukan kempen terbuka agar Waheeda dipilih untuk melengkapkan kenangan manis mereka berdua pada malam tersebut. Perkaitan nama Waheeda dan Mawi sememangnya agak sinonim kerana pengaruh populariti minat Mawi yang agak kuat terhadap Waheeda. Saya berani mengatakan Siti Nurhaliza masih unggul dalam kategori ini walaupun terdapatnya kempen terhadap Waheeda.

Saya Undi : Siti Nurhaliza
Undian Untuk Menang Kereta : Siti Nurhaliza
Sudah Sampai Masanya Untuk Menang Lagi : Siti Nurhaliza

M. Pelakon Filem Lelaki Popular
Afdlin Shauki
Farid Kamil
Rosyam Noor
Saiful Apek
Yusry

Saya melihat peluang Afdlin Shauki untuk menang agak besar kerana pengaruh Buli Balik dan Baik Punya Cilok. Kehebatan dua filem tersebut seakan-akan menutup populariti filem Castello. Sewajarnya paras rupa tidak dijadikan sandaran dalam pemilihan pemenang dan ini mungkin akan berlaku sekiranya Afdlin Shauki memenangi kategori ini. Sekiranya Afdlin Shauki menang kategori Pelakon Komedi Lelaki Popular, saya hampir pasti beliau akan turut memenangi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular. Bakat Afdlin Shauli dalam bidang lakonan serta pengarahan perlu diberikan perhatian dan diberikan pengiktirafan sewajarnya.

Saya Undi : Afdlin Shauki
Undian Untuk Menang Kereta : Afdlin Shauki
Sudah Sampai Masanya Untuk Menang : Afdlin Shauki

N. Pelakon Filem Wanita Popular
Erra Fazira
Fasha Sandha
Maya Karin
Nasha Aziz
Sharifah Amani

Walaupun saya mengundi untuk Sharifah Amani, saya melihat pengaruh Erra Fazira sukar untuk dikalahkan. Lebih-lebih lagi gosip yang melanda rumah tangga beliau dengan Yusry yang dikatakan di ambang penceraian, Secara tidak langsung akan menyebabkan undian simpati diberikan kepada Erra Fazira. Tanpa mengira filem apa sekalipun, Erra Fazira sudah pasti meraih anugerah ini melainkan Maya Karin mampu membuat kejutan.

Saya Undi : Sharifah Amani
Undian Untuk Menang Kereta : Erra Fazira
Sudah Sampai Masanya Untuk Menang : Maya Karin

O. Pelakon TV Lelaki Popular
Ako Mustapha
Fahrin Ahmad
Jalaluddin Hassan
Rosyam Noor
Zamarul Hisham

Sejak akhir-akhir ini negara seakan dilanda fenomena Samarinda yang disiarkan di TV3. Rata-rata penonton menyukainya. Populariti Samarinda lebih hebat dari Cerekarama, maka nama-nama yang tercalon adalah di kalangan pelakon dari siri Samarinda. Saya meletakkan kemenangan ke atas Fahrin Ahmad yang lebih menyerlah berbanding Rosyam Noor dalam televisyen. Pengaruh Rosyam Noor di televisyen juga sukar untuk digugat kerana golongan generasi baru akan pecah undi antara Fahrin Ahmad dan Ako Mustapha. Ako Mustapha mampu mencipta kejutan berdasarkan populariti Dalam Hati Ada Cinta yang sudah masuk musim keempat. Ini secara tidak langsung memberikan peluang yang agak besar kepada Rosyam Noor untuk terus unggul dalam kategori ini.

Saya Undi : Fahrin Ahmad
Undian Untuk Menang Kereta : Rosyam Noor
Sudah Sampai Masanya Untuk Menang : Ako Mustapha

P. Pelakon TV Wanita Popular
Abby Abadi
Eja
Fasha Sandha
Nasha Aziz
Rita Rudaini

Sekali lagi pengaruh siri Samarinda menguasai nama-nama calon yang terpilih di peringkat akhir kecuali Inspektor Aliza yang masih kebal dalam siri Gerak Khasnya. Saingan agak sengit antara Eja, Rita Rudaini dan Nasha Aziz kerana populariti siri Samarinda. Namun demikian, ada sedikit kelebihan untuk Eja selaku penyandang kategori ini. Penonton mungkin menyukai kepelbagaian watak yang dibawakan oleh Eja berbanding Fasha Sandha dan Nasha Aziz.

Saya Undi : Nasha Aziz
Undian Untuk Menang Kereta : Eja
Sudah Sampai Masanya Untuk Menang : Nasha Aziz

Bintang Paling Popular 2005
Khabarnya jumlah undian meningkat tiga kali ganda. Kalau bukan pengaruh Mawi, siapa lagi ? Saya meletakkan harapan seratus peratus untuk Siti Nurhaliza tetapi sayangnya pengaruh Mawi sukar untuk digugat. Mawi adalah Bintang Paling Popular 2005 dan merupakan artis realiti tv yang pertama memenangi kategori ini. Akademi Fantasia seharusnya berbangga kerana berjaya melahirkan bintang yang mampu menjadi bintang paling popular di Malaysia. Apa agaknya yang akan berlaku sekiranya saya tidak meletakkan Mawi sebagai pemenang mutlak untuk kategori ini. Harap-harap kekecohan yang berlaku di Indonesia depan Kedutaan Denmark tidak berlaku di blog ini.

Saya Undi : Siti Nurhaliza
Kalau Mahu Menang Kereta, Undi : Mawi
Sudah Pasti Menang : Mawi

Ramalan Lain :
JavardKredit : Banner Laman Web ABP2005