SATU…Sejarah Lengkap Siti Nurhaliza

Monday, June 29, 2009

Nota : Entri blog ini bukan review. Entri ini merupakan 7 minutes packaged story tentang konsert itu di Gala TV, Astro AWANI. Ulasan peribadi blog akan disiarkan secepat mungkin. InsyaAllah.

(ANCHOR)

Konsert Satu Dato’ Siti Nurhaliza membuka tirainya di Istana Budaya 26 Jun lalu.

Selama tiga malam berturut-turut, penyanyi bersuara emas itu menghiburkan penonton dengan lagu-lagu yang menyusur kerjaya Siti selama lebih sedekad.

(VT)

Bagi peminat Siti Nurhaliza yang hadir menyaksikan konsert sepanjang dua jam itu…pastinya mereka pulang berpuas hati.

Ada beberapa sebab…

Pertama…tentunya kerinduan mereka yang ingin menyaksikan Siti beraksi di sebuah konsert besar di tanah air sendiri akhirnya terubat.

Kedua…menyaksikan sendiri nama penyanyi pujaan ramai itu masih utuh di puncak kejayaan walaupun statusnya kini sudah bergelar isteri.

Ketiga…mereka dapat mendekati kisah hidup penyanyi itu menerusi lagu-lagu nyanyiannya yang jika diteliti bait-bait liriknya…

Pasti membuatkan peminatnya terfikir sejenak isi hati yang mahu diluahkan oleh penyanyi kesayangan Malaysia itu.

Itulah daya tarikan milik Siti yang mampu membuatkan peminatnya termimpi-mimpi.

Berkonsepkan teaterikal, konsert itu menyusur penglibatan Siti di puncak kejayaan dengan bantuan koreografi, muzik, set pentas yang ekstravaganza dan paparan visual grafik.

Siti memulakan persembahannya dengan lagu Hati disusuli Seindah Biasa dan Sutramaya…menuai semangat cinta pada negara.

Tidak lengkap persembahan Siti jika tidak membawakan lagu yang melonjakkan namanya di pesada muzik.

Lagu seperti Jerat Percintaan, Aku Cinta Padamu, Purnama Merindu, Bukan Cinta Biasa dan Cinta Ini merupakan antara lagu pilihan Siti di konsert tersebut.

Walaupun berada di puncak, jati dirinya sebagai anak Melayu tidak pernah pudar pada penyanyi itu dan digambarkan dengan lagu seperti Cindai, Balqis, Nirmala dan lagu asli, Bulan Yang Mesra.

Seperti gadis lain seusianya, Siti juga meluahkan naluri gadisnya menerusi lagu Pendirianku, Pada Cintanya dan Ku Mahu.

Langit tidak selalunya cerah buat penyanyi nombor satu negara itu apabila dia diduga dengan pelbagai tohmahan dan fitnah.

Lagu Tanpa Dendam Di Hati menceritakan segala-galanya.

Namun, insan sekecil Siti hanya mampu berserah kepada Tuhan menerusi lagu Dialah Di Hati.

Paling mengejutkan apabila Siti turut membawakan lagu Kurniaan Dalam Samaran di konsert itu.

Lagu itu tidak pernah dibawakan dalam mana-mana konsertnya di Malaysia sebelum ini…hanya di Singapura.

Dengan melodi lagu itu yang mirip muzik Jepun, di era itulah Siti terus mencipta nama di peringkat antarabangsa.

Siti turut berkongsi perasaan cintanya melalui lagu Mulanya Cinta, Debaran Cinta, Ku Milikmu dan Wanita.

Bila Harus Memilih dan Cuba Untuk Mengerti merungkai gelodak jiwanya yang ketika itu diasak pelbagai persoalan…siapakah jejaka yang bertakhta di hatinya.

Namun, kata Siti…Biarlah Rahsia.

Akhirnya…Cahaya Cinta menjawab segala persoalan jejaka pilihannya.

Namanya terus kekal di puncak.

Siti Situ Sana Sini dibawakan dengan mesej yang jelas, walaupun Siti berada di atas, dia sentiasa menanam sifat rendah diri…

Agar terus diminati peminatnya yang mengangkatnya ke puncak menerusi lagu Destinasi Cinta.

Siti, penyanyi yang tiada dua…menutup persembahannya dengan lagu Di Taman Teman meraikan kejayaannya bersama peminat yang setia bersamanya susah dan senang lebih sedekad.

Persembahan konsert itu dikemudi oleh Pat Ibrahim selaku Pengarah Konsert dan diiringi 20 pemuzik di bawah pimpinan Aubrey Suwito serta 25 penari latar di bawah bimbingan Pat, Azwa dan Suhaili.

Tiket-tiket menyaksikan konsert yang ditaja Maxis itu habis dijual sebelum konsert bermula.//

END

Aku Bukan Anak Wayang

Sekitar Pelancaran Anak Wayang di KLPAC

Saya bukan Anak Wayang, tetapi saya mudah ditipu oleh wayang. Kerap kali juga saya termakan dengan apa yang dipaparkan oleh wayang. Saya tidak ingat filem pertama yang saya tonton (mungkin Dayang Suhana) tetapi filem pertama yang saya tonton dengan duit sendiri ialah Perempuan, Isteri dan Jalang. Memang ia sebuah filem yang saya ingat sampai sekarang. Adegan yang paling saya ingat ialah shot cawan susu getah disirami air hujan. Sungguh klasik untuk terus melihat bagaimana dendam seorang perempuan menyebabkan kacau-bilau seluruh kampung.

Saya juga menonton beberapa kali filem Layar Lara. Ia bercerita tentang sebuah filem di dalam sebuah filem. Hingga sekarang saya kagumi bakat lakonan pelakon-pelakon filem tersebut seperti Sidi Oraza, Ida Nerina dan Man Bai. Siapa boleh lupa lakonan Azean Irdawaty dalam filem itu. Seorang pelakon veteran yang jasanya semakin dilupakan. Sedih !

Itulah antara kerja pelakon yang berjaya dan adakalanya berjaya menipu kita semua. Silap mata visual itu menyebabkan kita terus menyukainya dan terus bercakap mengenainya. Filem seperti Transformers yang memiliki visual kesan khas yang hebat menjadikan kita seakan-akan berada di dalam filem tersebut. Apakah kita tidak menyukainya ? Malah terus mencintai filem tersebut.

Terkini, filem-filem jujur yang memaparkan realiti yang berlaku di sekeliling kita sukar mendapat perhatian penonton. Sama ada mereka mengenepikan kejujuran atau pun mungkin mereka sudah terlalu malas untuk berfikir kerana hanya mahu yang ringan-ringan sahaja. Filem Talentime hanya mampu mengutip sekitar RM400,000 sahaja sepanjang tayangannya. Ya ! Ringgit !

Ada juga filem yang diangkat menjadi teater muzikal seperti Puteri Gunung Ledang. Sebuah filem diberikan nilai tambah kepada penonton selain membesarkan lagi demografik penontonnya. Hasilnya Puteri Gunung Ledang The Musical menjadi antara teater muzikal yang popular di Malaysia. Ah ! Penonton mungkin suka dengan nyanyian ! Mungkin juga !

Bermain di panggung wayang sekitar anda sekarang ialah filem Sell Out ! Sebuah filem Malaysia. Ya ! Filem Malaysia yang saya suka dengan sinikalnya. Filem adakalanya perlu bersifat sinikal untuk menarik perhatian penonton. Sell Out lebih kepada sinikal dan jenaka bijak. Tetapi jangan tersilap buat filem, menjadi sebuah filem lawak bodoh seperti Senario, Sifu & Tonga dan beberapa lagi.

Selepas Akademi Fantasia, nampaknya giliran Anak Wayang pula bersiaran. Menggabungkan drama dan realiti untuk mencipta sejarah. Oh ! Sejarah memang telah tpun ercipta. Anak Wayang telah pun bermula. Promonya telah pun berputar di skrin televisyen anda. Saya tidak sabar untuk menontonnya pula !

Nantikan ANAK WAYANG di Astro RIA dan Astro PRIMA !

Bersama Berdoa Menentang Kebatilan

Ya. Sudah masuk ke hari-hari terakhir minggu terakhir. Hari Sabtu ini semuanya akan berakhir. Sama ada pengaruh program realiti Akademi Fantasia masih relevan untuk musim depan masih di luar bayangan.

Hari ini hingga hari Sabtu ini para peminat setia program ini akan bermati-matian untuk menentukan siapa yang akan menjadi juara. Saya sedikit terkilan dengan apa yang berlaku kepada peminat yang gigih mengundi untuk menyelamatkan empat pelajar daripada tersingkir dan seboleh-bolehnya mahu melihat empat pelajar kesayangan mereka terus kekal berada di hadapan.

Segala yang perlu telah saya usahakan, malangnya tidak berjaya. Saya kagum dengan semangat peminat pelajar musim ini, saya kasihan dengan mereka dan seboleh-bolehnya saya mahu mewakili naluri perasaan mereka sekarang.

Itu saja yang boleh saya perkatakan. Tangan saya juga terikat di langit, kaki juga terpasak di bumi. Semoga Allah merahmati mereka dan yang batil akan dibalas olehNya.

Saya tertarik dengan persahabatan Akim dan Hafiz dalam Diari malam ini. Kedua-duanya bersaing dalam pertandingan ala Amazing Race dalam Akademi Fantasia. Hubungan erat itu sesuatu yang sungguh indah untuk ditonton dalam program yang dikatakan bercorak kekeluargaan pada awal kemunculannya. Ya, saya maksudkan hanya AF1, AF2 dan AF3.

Benar, mereka pernah berselisih faham di dalam Akademi. Tunjukkan pada saya adik-beradik mana yang tidak pernah bergaduh dengan adik-beradiknya yang lain ? Fokus saya minggu ini harus ditumpukan pada hanya seorang kerana yang itulah yang telah mengganggu seluruh kemurniaan yang ada sebelum ini.

Melihatkan keakraban Akim dan Hafiz di minggu terakhir ini, saya lebih menyukai salah seorang dari mereka muncul sebagai Juara atau pun Naib Juara. Tidak kisahlah siapa pun. Asalkan mereka berdua. Lebih-lebih lagi dengan kedudukan undian mereka mereka minggu lalu yang berada di tempat pertama dan kedua. Yang mana telah pun dinafikan hak mereka termasuk hak peminat sebagai pengundi.

Semoga Allah membalas segala kebatilan yang berlaku di minggu 9. Amin.

Mahu tahu lebih lanjut klik di sini.

Syabas ! Konsert Terbaik Akademi Fantasia 7

Lima pelajar terpilih ke Konsert Akhir Akademi Fantasia musim ketujuh. Empat pelajar yang masih kekal di minggu kesembilan meneruskan penguasaan mereka setelah tiada penyingkiran dilakukan semalam. Sementara itu, Aril, pelajar yang tersingkir di minggu ketujuh diserap masuk oleh penonton melalui undian AFMASUK.

Konsert minggu kesembilan menyaksikan empat pelajar, Hafiz, Akim, Yazid dan Isma mempersembahkan persembahan cemerlang mereka. Pengumuman tiada penyingkiran nyata cukup menggembirakan. Ini bermakna, kesemua pelajar yang beraksi melangkah ke Konsert Akhir Akademi Fantasia, Sabtu depan.

Semakin hampir ke penghujung. Semakin sukar untuk menulis. Malam itu saya sifatkan konsert terbaik sepanjang Akademi Fantasia musim ketujuh. Pelajar telah menggunakan peluang terakhir mereka sebaik mungkin untuk mengumpan perhatian pengundi.

Paling mengejutkan, apabila minggu ini setiap pelajar lebih menyerlah membawakan lagu tugasan Bahasa Inggeris berbanding lagu Bahasa Melayu. Ya, semua pelajar. Antara lagu Laskar Pelangi dan lagu I Believe I Can Fly, saya lebih menyukai lagu I Believe I Can Fly. Antara lagu I’m Yours dan lagu Larut, saya lebih menyukai lagu I’m Yours. Antara lagu Aku Skandal dan Where The Street Have No Name, saya lebih menggemari lagu Where The Street Have No Name dan antara lagu Hot & Cold dan Aku Pasti Datang, saya lebih menyukai lagu Hot & Cold.

Pelik, tetapi setiap pelajar lebih menyerlah dengan lagu Bahasa Inggeris.

Persembahan Pelajar

LAGU BONUS - Legenda




ISMA - Aku Pasti Datang (Bunga Cinta Lestari)

YAZID - Where The Street Have No Name (U2)

AKIM - I’m Yours (Jason Mraz)



HAFIZ - Laskar Pelangi (Nidji)


ISMA - Hot & Cold (Katy Perry)

YAZID - Aku Skandal (Hujan)


AKIM -Larut (Dewa 19)


HAFIZ - I Believe I Can Fly (R Kelly)

Menuju Puncak

Finalis Akademi Fantasia 7

Saya sudah buat pilihan. Saya mahu kedudukan di bawah untuk Konsert Akhir AF7, Sabtu ini.

Juara : Akim
Naib Juara : Hafiz
Tempat Ketiga : Aril
Tempat Keempat : Yazid
Tempat Kelima : Isma

Pilihan Transformasi sultanmuzaffar

AKIM - I’m Yours (Jason Mraz)
HAFIZ - I Believe I Can Fly (R Kelly)
AKIM -Larut (Dewa 19)
HAFIZ - Laskar Pelangi (Nidji)
YAZID - Where The Street Have No Name (U2)
ISMA - Hot & Cold (Katy Perry)
YAZID - Aku Skandal (Hujan)
ISMA - Aku Pasti Datang (Bunga Cinta Lestari)

Kedudukan pelajar sebelum konsert bermula :

PELAJAR dan PERATUSAN (%)

YAZID – 32
HAFIZ – 28
ISMA - 25
AKIM – 16

Kedudukan pelajar selepas undian ditutup:

PELAJAR dan PERATUSAN (%)

HAFIZ – 34
AKIM - 25
YAZID – 22
ISMA – 18

Kedudukan pelajar undian AFMASUK setelah undian ditutup

PELAJAR dan PERATUSAN (%)

ARIL - 52.45
AISHAH - 26.6
ZIZI - 6.87
SIDI - 5.84
CLAUDIA - 4.59
QHAUD - 1.71
RINI - 0.86
RUBISA - 0.48
OBRI - 0.34
ADILA - 0.26

Ke Mana Arah Dunia Maya Akademi Fantasia ?

Pada mulanya saya menghantar artikel ini untuk disiarkan di Murai, tetapi malangnya Murai nampaknya melengah-lengahkan artikel ini. Oleh itu saya buat keputusan untuk menyiarkannya di blog ini. Artikel ini yang saya hantar dua minggu yang lalu telah pun saya buat penambahan untuk disesuaikan dengan keadaan semasa. Selepas pengumuman AFMASUK dan beberapa isu yang berkaitan dengan perjalanan program realiti tersebut.

Mungkin juga artikel ini dapat mengimbau kembali zaman-zaman sewaktu ianya bermula. Kepada peminat setia program ini sejak AF1 yang sewaktu itu mungkin juga terkejut dengan program sebegini disiarkan di skrin televisyen anda. Namun ada di antaranya sudah seperti keluarga saya sendiri. Hubungan rapat saya dengan beberapa peminat masih berkekalan hingga kini. Jika boleh saya sebutkan beberapa nama seperti bad, dream, chail, ka, leen, iz, waiem dan banyak lagi.

Bagaimana Ia Bermula

Enam tahun lalu, sekitar bulan Jun tahun 2003 saya tertengok sebuah program siaran saluran Astro RIA yang tajuknya Akademi Fantasia. Itulah kali pertama saya didedahkan dengan sebuah program realiti. Itulah program realiti pertama bercorak pertandingan. Saya tidak faham pada mulanya kerana pelajar tinggal bersama di sebuah Akademi. Program Diari yang disiarkan setiap hari itu saya ikuti dengan tekun. Pada waktu itu saya masih tidak tahu yang pada hujung minggu mereka akan mengadakan konsert. Oleh itu saya tidak menonton televisyen dengan tekun pada hari Sabtu, sebaliknya hanya menggunakan komputer dan menonton televisyen secara sambil-sambil.

Bukannya apa kerana lagu yang mereka nyanyikan pada malam tersebut tidak begitu menambat perhatian saya. Yang paling menambat perhatian saya apabila pengumuman dilakukan oleh Aznil. Seorang pelajar iaitu Liza tersingkir di konsert tersebut. Mereka menangis ! Kenapa mereka menangis ? Saya jadi lebih keliru. Antara adegan yang paling saya ingat malam itu hanya pakaian yang dikenakan oleh Sahri persis pegawai bank dan Vince mengenakan bajunya sendiri berjenama Body Glove.

Saya menjadi lebih hairan apabila Liza yang telah pun mengusung begnya ditahan dari keluar. Pengumuman penyerapan semula tidak dibacakan oleh Aznil, sebaliknya dibacakan oleh Rosma. Itulah saat saya mula tertarik dengan program pelik itu. Waktu itu saya masih tidak sedar yang punca penyingkiran Liza adalah SMS. Jangka hayat mereka di dalam Akademi waktu itu ditentukan oleh SMS. Telefon bimbit anda ! Itu yang saya tidak sedar. Waktu itu saya masih tidak sedar yang pelajar boleh diserap kembali. Waktu itu saya masih tidak sedar harga air mata yang dicurahkan melalui program realiti itu.

Bermula minggu kedua, saya jadi peminat setia program realiti itu kerana saya sudah mengetahui yang SMS memainkan peranan yang penting dalam program ini. Apakah faktor yang menyebabkan seseorang pengguna telefon menghantar SMS kepada pelajar kegemaran mereka. Saya mula menulis apa yang berlaku di dalam Diari. Saya sebagai penonton menjadi perintis di ruang blog untuk Akademi Fantasia. Tulisan di blog saya ketika itu menjadi medium kedua buat peminat program tersebut. Waktu itu laman web di platform Astro agak lambat dikemaskinikan. Mungkin juga mereka ketika itu tidak pernah menyangka akan wujud teknologi blog yang boleh mengatasi medium mereka. Saya terus hidup tanpa saingan.

Menulis tentang apa yang berlaku di Diari sememangnya menyeronokkan kerana sebagai penonton saya hanya melihat apa yang ditawarkan kepada saya menerusi skrin televisyen. Itu sahaja. Pada waktu itu kita dihidangkan dengan adegan percintaan Burn dan Nana, pertelingkahan di Meja Makan dan paling diingati sampai sekarang adegan Nana dimarahi Cikgu Siti Hajar. Apa yang saya tuliskan di blog hanyalah pandangan saya sebagai penonton. Saya bukan orang dalam, saya tiada orang dalam untuk menyalurkan maklumat kepada saya dan yang menjadi perantara saya hanyalah skrin televisyen.

Antara tetamu awal yang datang ke Akademi Fantasia seingat saya ialah pelakon Rosyam Nor. Waktu itu kelas Cikgu Fatimah. Bagaimana Atie menjerit gembira masih kekal dalam ingatan. Berlari Atie menjauhi Rosyam Nor yang sedang berlakon dengannya. Di malam konsert, Ruffedge merupakan artis pertama yang tampil mengejutkan Burn dengan lagu Sabar Menanti.

Itulah yang saya rakamkan di dalam blog ini sejak minggu kedua. Amat mengejutkan apabila Adi tersingkir di minggu kedua. Seorang yang takut belon itu tersingkir bila membawakan lagu Biru oleh penyanyi Jai. Penyanyi asal lagu itu pun saya tidak tahu ke mana dia sekarang tetapi Adi kini merupakan penyampai radio ERA. Itulah magik Akademi Fantasia yang sampai sekarang masih saya ingat.

Dunia maya ketika itu tanpa saingan, hanya saya seorang yang menulis di blog. Apa yang disuapkan kepada penonton dan pembaca itulah yang mereka terima. Objektif saya untuk pembaca berkongsi pendapat mereka semakin cerah dengan adanya medium tersebut. Bukannya mahu menunjuk pandai sebalik medium ini saya yakin dapat menyalurkan maklumat berdasarkan pandangan kedua yang sepatutnya diterima dengan baik oleh pembaca. Saya akui, tidak kurang juga yang membenci saya ketika itu.

Peliknya saya hanya mengingati mereka yang kini telah pun menjadi sahabat-sahabat saya dan melupakan kutukan, keji, nesta yang dilemparkan oleh pembenci saya dahulu. Lebih baik mengingati sesuatu yang positif dan membiarkan sesuatu yang negatif terus bersarang di dalam kepala bukan ?

Pengaruh Dunia Maya Ketika AF1 – AF3

Blogger mula diiktiraf apabila tenaga produksi sedar yang maklumat dalam bentuk maya ini lebih pantas tersebar dan dikemaskinikan. Kesan daripada itu mereka mula menjalinkan hubungan rapat dengan blogger dan saya dijemput untuk menonton Konsert Akademi Fantasia 1, minggu keenam.

Sedang waktu itu negara masih samar-samar apakah itu blog, tetapi usaha yang dimulakan oleh Astro untuk menjemput blogger datang menonton suatu yang harus dipuji. Diakui juga blog lebih pantas mengemaskinikan maklumat penting untuk peminat program tersebut. Perkataan blog di tahun 2003 adalah suatu yang sangat asing. Siapa blogger yang menulis tentang dunia hiburan Malaysia boleh dibilang dengan jari, iaitu SATU. Dari situlah bermulanya fenomena blogger hiburan yang cuba untuk menjadi sebahagian daripada program tersebut. Benar kata Ramli MS, oleh kerana program ini terlalu popular, semua orang mahu menjadi sebahagian daripada program ini. Baik penaja, penonton, peminat dan sebagainya.

Ironinya apabila pada konsert minggu keenam, satu Malaysia digemparkan dengan penyingkiran Rosma. Lagu Sinaran yang sepatutnya menjadikan jalan Rosma lebih bersinar menjadi penamat perjalanannya. Sejak itu, lagu Sheila Majid sering dikaitkan dengan badi Akademi Fantasia. Mas juga tersingkir sewaktu mendendangkan lagu Aku Cinta Padamu. Saya mula mengenali tenaga di belakang tabir program realiti ketika itu, Adi Shamsul dan juga Pengetua musim itu.

Hubungan itu tidak terhenti di situ kerana tulisan-tulisan saya mula diberikan perhatian, baik oleh tenaga belakang tabir mahu pun peminat program itu. Waktu itu saya masih berselindung di sebalik nama sultanmuzaffar dan tidak ada yang mengetahui siapakah penulisnya. Berbeza kini. Saya mula memberanikan diri untuk keluar dari skrin komputer ini ke skrin televisyen apabila dijemput sebagai tetamu dalam program Imbasan Akademi Fantasia musim 2 pada minggu keempat.

Ironinya apabila pelajar yang tersingkir pada konsert minggu keempat ialah Fitri, pelajar yang sering menjadi bahan gosip oleh penonton, pembaca dan saya sendiri. Hubungan saya bersama pembaca semakin erat. Program realiti itu selain mengeratkan hubungan kekeluargaan berjaya mewujudkan satu lagi keluarga maya untuk saya. Kami berbincang dan berbual tentang siapa yang kita minat, tanpa perlu menerapkan unsur-unsur negatif yang menghalang daripada kita terus minat siapa yang kita minat.

Ketika itu tiada sebarang agenda malah lebih kepada mewujudkan hubungan kekeluargaan antara satu sama lain. Agenda mengeluarkan pelajar yang tidak menampilkan persembahan terbaik mereka wajar dilakukan agar menjamin mutu program tersebut. Sampai ke Akademi Fantasia musim ketiga, persaingan di dunia maya semakin sengit. Namun elemen persahabatan itu masih utuh di antara blogger.

Di musim ketiga, sewaktu nama Mawi menjadi fenomena sekali lagi saya dijemput untuk program Imbasan Akademi Fantasia 3, minggu ketujuh. Akma tersingkir pada minggu tersebut dan pada konsert itulah pengarah filem, Yasmin Ahmad menjadi pengkritik jemputan. Masih ingat lagi apa komen yang dilontarkan oleh Yasmin kepada Akma selepas persembahannya ? Saya masih ingat lagi.

Impak program realiti itu di dunia maya sangat hebat. Mawi sudah punya portal sendiri sebelum muncul sebagai Juara. Persaingan Semenanjung Malaysia dan Sabah semakin sengit. Pelbagai strategi mula diatur oleh laman-laman web untuk menjadikan pelajar kegemaran mereka sebagai juara.

Kata Cikgu Fatimah kepada saya beberapa hari lalu, beliau agak sedih kerana peminat program realiti itu seakan hilang sifat kekeluargaan sebaliknya lebih memberikan tumpuan untuk menjadikan pelajar kegemaran sebagai juara lalu elemen paling penting dalam program itu seakan hilang.

Itulah yang mula berlaku di musim seterusnya iaitu di AF4, AF5, AF6 dan kini AF7.

Situasi Kini Ketika AF4 – AF7
Di AF4, saya bukan lagi blogger sepenuh masa, sebaliknya ditawarkan untuk menjawat jawatan New Media Planning untuk Akademi Fantasia. Satu pengiktirafan untuk seorang blogger yang menjadi perintis kepada dunia maya Akademi Fantasia. Semua maklumat berada di tangan saya. Tulisan saya sebagai penonton bertukar kepada tulisan sebagai salah seorang yang terlibat dengan program tersebut.

Apabila seorang blogger diberikan keistimewaan itu, tidak hairan lah sekiranya ada hati yang terguris. Persaingan menjadi semakin sengit dan ada yang menjadi mangsa. Saya pernah merasai kehangatan isu tersebut. Mungkin juga ada di antara anda yang masih mengingati cerita itu. Saya mengingatinya sampai sekarang untuk terus menjadi peringatan kepada saya agar jangan tersilap langkah lagi atau pun jangan cepat termakan umpan.

Dunia maya penuh kepura-puraan, penuh dengan strategi, penuh dengan taktik oleh peminat program tersebut. Laman web rasmi menjadi hangat kerana dikatakan pilih kasih walaupun saya cuba untuk menjadi seadil yang mungkin.

Cukuplah dua tahun saya melayani dunia laman web rasmi, saya mahu mencari sesuatu yang lebih mencabar dan hasilnya saya mendaki cabaran baru bersama saluran berita yang baru diwujudkan iaitu Astro AWANI.

Namun program itu terus hangat dengan pelbagai cerita baik dari media arus perdana, mahu pun media baru. Portal Murai diwujudkan menjadi sokongan kepada laman web rasmi. Jika media arus perdana mencari kesalahan program tersebut, media baru perlu memperbetulkan persepsi masyarakat dengan mewujudkan istilah “damage control” sebagai bahan utama portal tersebut.

Sekali lagi pada musim AF7 saya sebagai orang luar. Lebih tenang saya ingatkan. Rupanya tidak kerana saya sering disogok dengan pelbagai cerita belakang tabir di forum dan blog yang cuba merosakkan nama sesetengah pelajar. Saya cuba sedaya upaya untuk meneruskan minat terhadap hanya kepada pelajar yang saya minat dan melupakan cerita-cerita negatif tentang pelajar lain. Kalau pun saya mahu mendengar cerita belakang tabir, saya akan menemui mereka yang boleh saya percayai dan bukannya dari mereka yang memiliki agenda tersendiri.

Terbaru saya tertarik dengan adegan yang berlaku di dalam Diari malam tadi. Bicara Prinsipal Tiara dan Cikgu Fati tentang bagaimana seboleh-bolehnya dia cuba untuk menjarakkan dirinya dengan pelajar. Tetapi sayangnya dia sendiri tidak mampu untuk berbuat demikian kerana sepanjang 10 minggu itulah mereka menjalin ikatan sebagai keluarga. Pelajar membesar di depan mata mereka.

Kesan Pengaruh Dunia Maya Ketika AF4 – AF7

Pelbagai blog, forum dan portal hiburan mula bercambah. Maklumat sudah tidak dapat dikawal lagi dengan bercambahnya blog, forum dan portal hiburan. Maklumat datang dari kiri dan kanan tanpa mengira sensitiviti dan semakin sukar dikawal.

Semua pihak mahu menjadi sebahagian daripada program realiti popular itu. Ia sudah semacam satu lumrah. Semut akan mencari gula. Jangan terkejut jika ada di antara mereka yang cuba untuk mencungkil maklumat daripada saya. Mereka cuba untuk mengumpan saya agar terjerat dalam perangkap mereka. Namun, saya tidak bodoh untuk terumpan dalam jerat yang tidak mendatangkan hasil. Saya lebih berjaga-jaga kini. Saya bukan proxy sesiapa.

Objektif utama saya dahulu agar pembaca dalam berkongsi pandangan mereka untuk kebaikan program itu semakin tersasar walaupun masih wujud lagi elemen sebegitu untuk program ini. Pengaruhnya tidak besar kerana tidak semua penonton setia program ini melayari internet kerana hits untuk pelayar internet tidaklah begitu tinggi berbanding jumlah penonton program realiti itu.

Penutup

Namun pengaruh dunia maya tidak harus diketepikan kerana suara-suara mereka menghangatkan lagi program realiti paling popular itu. Dunia maya boleh dianggap sebagai sokongan kepada meningkatnya populariti program realiti paling popular di Malaysia itu. Itulah Akademi Fantasia, sebuah program realiti yang berjaya menyerap dalam setiap darah peminatnya dan menjadi sebahagian daripada mereka.